Pegawai Penyiasat kes kematian Zara Qairina langgar SOP, tindakan tegas diambil - JSJ

 

KUALA LUMPUR: Pegawai penyiasat dan penyelianya bakal berdepan tindakan tegas selepas siasatan pasukan Task Force Bukit Aman mendapati berlaku ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam siasatan kes kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, siasatan yang bermula 11 Ogos lalu mendedahkan pegawai penyiasat gagal membuat permohonan bagi proses bedah siasat.

Katanya, kelemahan itu turut berpunca daripada ketiadaan penyeliaan yang sepatutnya dilakukan.

“Walau bagaimanapun, saya perlu nyatakan bahawa terdapat persetujuan daripada ibu mangsa yang memohon supaya bedah siasat tidak dijalankan.

“Persetujuan ini direkodkan melalui tandatangan ibu mangsa, doktor, pakar patologi dan pegawai penyiasat dalam dokumen Surat Akuan Enggan Bedah Siasat Mayat Atas Kemahuan Sendiri yang dikeluarkan pihak hospital,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman, hari ini.

Terdahulu, Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk menjalankan prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Zara Qairina selaras Subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593].

Menurut AGC, prosiding di Mahkamah Koroner itu akan dijalankan secara bebas dan telus bagi mengenal pasti sama ada wujud unsur jenayah atau sebaliknya dalam kematian berkenaan.

Pada 16 Julai lalu, Zara Qairina, 13, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Papar, ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan.

Mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.

Pada 8 Ogos lalu, AGC mengarahkan kubur Allahyarhamah digali semula bagi membolehkan proses bedah siasat dijalankan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama