ePSM dilancar kawal vesel penangkapan ikan asing, Malaysia tegas cegah aktiviti IUU

 

KOTA KINABALU: Jabatan Perikanan Malaysia melancarkan sistem Kemasukan Vesel Penangkapan Ikan Asing Ke Pelabuhan (E-PSM) bagi memperkukuhkan kawalan kapal asing masuk ke perairan perikanan negara. 

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, sistem ini bertujuan bagi mengekang aktiviti penangkapan ikan haram, tidak dilaporkan dan tidak diatur (IUU Fishing). 

Menurut Adnan, aplikasi itu membantu pemilik kapal nelayan asing untuk membuat permohonan lebih awal sebelum memasuki perairan atau pelabuhan perikanan Malaysia. 

“Mereka boleh membuat permohonan dan menyatakan tarikh hendak masuk, ke pelabuhan mana dan apakah hasil tangkapan ikan yang hendak didaratkan supaya kita boleh membuat penilaian serta memberi kebenaran untuk kapal-kapal ini masuk,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Sistem Kemasukan Vesel Penangkapan Ikan Asing Ke Pelabuhan (Sistem E-PSM) yang bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, semalam.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa langkah penting itu bagi memastikan kapal yang mematuhi undang-undang sahaja dibenarkan masuk, selain mengelakkan pendaratan spesies terlarang seperti yang dikawal di bawah Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Fauna dan Flora Liar Terancam (CITES).

“Kerana itulah ePSM diwujudkan bagi memastikan mana-mana pihak dari luar, tidak kira kapal dari negara mana sekalipun perlu membuat permohonan terlebih dahulu sebelum mendarat atau berlabuh di mana-mana pelabuhan perikanan di negara kita,” jelasnya. 

Sementara itu, beliau menegaskan bahawa setakat ini tiada kapal yang membuat permohonan melalui ePSM ditolak kerana semua memenuhi syarat ditetapkan. 

“Setiap permohonan akan disemak rapi dengan badan antarabangsa termasuk dari Kesatuan Eropah, Australia, serta organisasi serantau seperti Indian Ocean Tuna Commission dan Western Pacific Tuna Commission,” ujar beliau. 

Beliau menambah bahawa pihaknya turut mempromosikan maklumat ini melalui beberapa kaedah termasuklah dengan menyediakan laman sesawang sistem dan mewujudkan agen tempatan. 

“Kita juga berkongsi maklumat ini dengan negara serantau di peringkat ASEAN melalui pertubuhan dan badan-badan serantau yang berkaitan dengan perikanan, tujuannya supaya semua negara mengetahui serta menggunapakai kaedah yang telah dilaksanakan oleh negara kita,” tambahnya. 

Majlis pelancaran itu telah disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu. 

Terdahulu, beliau telah melancarkan Program Simposium Peladangnita dan Program Dari Dapur Peladangnita yang dilaksanakan di Mini Stage, Pavillion, Dewan Sipadan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama