Remaja maut jatuh parit sedalam 15 kaki

 

KOTA KINABALU: Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas sebelum terjatuh ke dalam parit sedalam 15 kaki di hadapan sebuah hotel di Jalan Pintasan Penampang, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.50 pagi itu, mangsa berusia 19 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 sebelum sembilan anggota bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS) digerakkan ke lokasi.

“Sebaik tiba jam 2.55 pagi, pasukan mendapati mangsa berada di dalam parit dengan kedalaman kira-kira 15 kaki.

“Pasukan bomba kemudian bertindak mengangkat mangsa menggunakan junkin stretcher sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas KKM,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum dibawa ke hospital bagi proses bedah siasat.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya jam 3.19 pagi selepas pasukan bomba memastikan kawasan kejadian selamat,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama