'Kalau itu yang terbaik... laksana saja' - Jasnih


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya, menegur kenyataan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud yang menyifatkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai liabiliti kepada Pakatan Harapan (PH).

Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Pantai Dalit itu menyifatkan pandangan Mustapha sebagai kenyataan yang tidak berasas dan boleh menjejaskan keharmonian dalam kalangan rakan gabungan kerajaan.

“Saya tidak pasti apa sebenarnya asas, motif atau objektif beliau merujuk GRS sebagai satu liabiliti kepada PH.

"Ramai juga kawan saya dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau PH, tapi yang begini punya putungan jarang saya jumpa... memang ‘rare’ (luar biasa),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu hantaran yang dimuat naik dalam laman media sosial Facebook, hari ini.

Jasnih berkata, beliau menghargai peranan media serta wartawan dalam melaporkan pandangan pemimpin, namun menasihati Mustapha supaya lebih berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan.

“Jangan terlalu teruja bila memberi kenyataan, terutama yang hanya menampakkan kelemahan dan merosakkan diri sendiri. Paling penting, jangan jadi perosak,” katanya.

Menurutnya, keyakinan diri yang berlebihan boleh menjurus kepada sikap angkuh, dan itu hanya akan merugikan imej pemimpin berkenaan.

“Keyakinan diri yang terlalu tinggi membawa kepada keangkuhan... dan ingatlah, tiada siapa yang tidak boleh diganti,” katanya.

Jasnih menasihati agar sebarang pandangan berbeza dibincangkan secara dalaman melalui saluran parti dan kepimpinan, bukannya dilontarkan secara terbuka hingga mencetuskan polemik.

“Kalau itu yang dimaksudkan di hati, bincanglah baik-baik dengan ketua anda. Insya- Allah, kalau itu yang terbaik… kita laksanakan saja,” katanya.

Menurut beliau, kestabilan politik negeri perlu menjadi keutamaan kerana ia berkait rapat dengan usaha pembangunan dan kesejahteraan rakyat di bawah dasar Sabah Maju Jaya (SMJ) yang digerakkan kerajaan negeri.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama