TYT arah siasatan telus kes kematian Zara Qairina

 

KOTA KINABALU: Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Dr Musa Haji Aman, mengarahkan pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh dan telus berhubung kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.

Dalam kenyataan Istana Seri Kinabalu, Tun Musa menegaskan siasatan mesti dilakukan dengan penuh ketelitian, tanpa rasa takut atau pilih kasih, berlandaskan kebenaran dan keadilan.

“Menuntut keadilan bukanlah satu bentuk pembalasan, sebaliknya perintah Allah SWT untuk melindungi yang lemah dan menghukum mereka yang bersalah,” katanya.

Menurut kenyataan itu, bedah siasat telah dijalankan semalam dan pihak berkuasa kini menunggu keputusan penuh sebelum tindakan susulan diambil.

Pada masa sama, Istana menyeru orang ramai, khususnya pengguna media sosial, supaya tidak membuat sebarang spekulasi, menyebarkan tuduhan tidak berasas atau menggalakkan teori konspirasi kerana ia boleh menjejaskan integriti siasatan dan menambah kesedihan keluarga mangsa.

Tun Musa turut menyeru semua pihak memberi ruang kepada proses undang-undang berjalan dengan adil serta berdiri seiring bersama keluarga Zara dalam mencari jawapan dan penyelesaian kes ini.

Tun Musa bersama Toh Puan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamah dan mendoakan mereka diberikan kekuatan menghadapi dugaan berat itu.

Sementara itu, Majlis Tahlil dan Doa peringkat negeri untuk Allahyarhamah Zara akan diadakan pada Khamis, 14 Ogos, selepas solat Maghrib di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, serta serentak di semua masjid dan surau di seluruh Sabah.

Tun Musa menggalakkan umat Islam hadir bersama, manakala mereka yang bukan beragama Islam turut dipelawa untuk mendoakan mengikut kepercayaan masing-masing.

“Keselamatan dan kebajikan anak-anak kita mesti sentiasa menjadi keutamaan bagi mengelakkan tragedi seperti ini berulang,” katanya.

Tun Musa turut mendoakan Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama