Dakwaan Zara Qairina dimasukkan dalam mesin basuh adalah spekulasi - Peguam

 

KOTA KINABALU: Dakwaan yang tular menerusi satu video oleh seorang wanita yang menyatakan pelajar tingkatan satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, dimasukkan dalam mesin basuh adalah satu spekulasi.

Peguam yang mewakili keluarga allahyarham, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri berkata ibu Zara, Noraidah Lamat tidak pernah memberi maklumat terbabit kepada mana-mana pihak.

Susulan itu, mereka menggesa wanita yang membuat dakwaan terbabit untuk menyalurkan maklumat itu kepada pihak polis bagi tujuan siasatan.

"Berikutan penularan beberapa video dan gambar berkaitan dengan kes Zara, pertama, kami ingin membuat kenyataan, video seorang wanita menceritakan Zara dimasukkan ke dalam mesin basuh adalah satu spekulasi.

"Penyebaran gambar kronologi yang menggambarkan Zara hanya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth 1 jam 8 pagi pada 16 Julai 2025 juga adalah satu spekulasi. Maklumat yang membentuk kronologi itu bukan datang dari anak guam kami.

"Kedua, penyebaran gambar pelajar sekolah di platform media massa dan membuat kenyataan yang negatif terhadap mereka adalah satu kesalahan jenayah di bawah seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 211 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya dalam satu kenyataan media.

Kenyataan terbabit merupakan maklum balas susulan dakwaan Zara dimasukkan ke dalam mesin basuh sehingga mengalami kecederaan dalaman tular di laman media sosial.

Sehubungan dengan itu, kedua-dua peguam menegaskan agar penularan pelbagai dakwaan membabitkan kes kematian Allahyarham Zara di semua platform media sosial dihentikan dengan kadar segera.

"Kepada mereka yang telah melakukan penyebaran sedemikian, kami memohon agar memadam video dan gambar terbabit. Spekulasi hanya menambah tekanan dan kesedihan kepada anak guam kami.

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkenaan kes Zara diminta untuk menyalurkan maklumat kepada polis untuk tujuan siasatan," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama