Budaya buli mesti dibendung

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata budaya buli yang nampaknya semakin berleluasa di pusat pengajian dan sekolah di Sabah serta negara ini perlu dipandang serius dan dibendung.

“Saya secara peribadi berasa amat kecewa dan sangat sedih dengan apa yang telah berlaku. Ini adalah suatu keadaan yang tidak wajar berlaku.

“Apa yang lebih mengecewakan ialah budaya buli di kalangan murid turut berlaku di sekolah agama! Maka masyarakat mula bertanya, malah saya sendiri pun ingin tahu, apa sebenarnya yang telah berlaku?

“Mengapa boleh wujud budaya buli dalam sebuah institusi yang berlambangkan kesucian agama Islam?  Di manakah salah dan silapnya?” katanya ketika merasmikan Konvensyen Du’at di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini hari ini.

Sehubungan itu, Ketua Menteri percaya konvensyen hal ehwal agama Islam adalah wadah terbaik untuk bermuhasabah dan menilai kelemahan, memperbaiki kekurangan bukan sahaja di sekolah tetapi juga dalam semua organisasi samaada milik Kerajaan atau persendirian.

Hajiji berkata sebagai warganegara dalam sebuah negara berbilang kaum, umat Islam tidak dapat mengelak daripada berdepan dengan isu-isu berkaitan agama mereka, khususnya di media sosial.

Beliau menyatakan kebimbangan terhadap penularan propaganda palsu termasuk berita palsu dan fitnah, iaitu taktik jahat kumpulan anti-kerajaan yang bertujuan untuk menjatuhkan maruah atau membinasakan reputasi pemimpin tertentu menjelang pilihan raya negeri.

“Selain isu politik, terdapat juga perkara lain yang turut disensasikan, antaranya berkaitan ekonomi, keselamatan, kesihatan, alam sekitar, serta isu 3R (Kaum, Agama dan Institusi Diraja), malah institusi Yang di-Pertua Negeri juga turut dibantai dan diperlekeh,” katanya.

Turut tidak terkecuali ialah insiden tragis yang melibatkan pendidikan dan isu budaya buli di kalangan murid sekolah sehingga menyebabkan kehilangan nyawa, yang disensasikan oleh segelintir netizen tidak bertanggungjawab sehingga ada yang sanggup berbohong, menyebarkan berita palsu, dan memfitnah individu tertentu, katanya.

Beliau berkata letusan pesat Teknologi Maklumat pada abad ini telah membuka dunia tanpa sempadan, mengecilkan dunia menjadi sebuah Perkampungan Sejagat, di mana segala-galanya berada di hujung jari.

Cabaran, katanya, menjadi lebih besar dengan wujudnya aplikasi canggih dikenali sebagai Kecerdasan Buatan (AI), yang direka untuk membantu memudahkan tugasan dan kerja dalam era moden.

“Namun, di sebalik manfaat dan kemudahan teknologi canggih ini, ia juga boleh mendatangkan ancaman dan cabaran serius kepada kita, khususnya umat Islam, jika disalahguna atau dijadikan senjata untuk menghasilkan infografik, audio atau video palsu dengan niat menggugat kestabilan umat Islam di seluruh dunia,” katanya.

“Penyalahgunaan aplikasi ini adalah cabaran utama yang kita hadapi pada abad ini. Harus diingat bahawa dunia digital, termasuk teknologi internet, sentiasa berkembang dengan pesat. “Setiap hari, ciptaan baharu dihasilkan oleh para saintis dan pengatur cara, sehingga pengguna seperti kita yang sudah mencapai status veteran ini sering sukar untuk mengikuti perkembangannya.Kebimbangan sebenar adalah terhadap generasi muda dan pewaris masa depan tanah air yang kita cintai,” katanya.

Hajiji berkata hakikatnya teknologi canggih akan terus menguasai kehidupan manusia apabila negara-negara maju berlumba-lumba mencipta gajet dan pelbagai lagi bukan sahaja untuk menguasai pasaran global tetapi juga mempengaruhi serta menguasai minda dan pemikiran manusia. Sehubungan itu, katanya, di sinilah peranan ibu bapa, pendidik, pendakwah, pemimpin organisasi dan tokoh masyarakat sebagai pembimbing serta benteng generasi kita.

“Tugas mendidik generasi muda dan membentuk ahli masyarakat adalah satu fardhu kifayah yang besar pahalanya. Maka ia mesti dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan kasih sayang terhadap bangsa dan negara,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama