BEAUFORT: Pertubuhan Masyarakat Berpadu Sabah melaksanakan Kempen Kesedaran Buli bertemakan “Noktahkan Buli, Mulakan Empati – Kami Hero Anti Buli” sebagai usaha berterusan membanteras budaya buli dalam kalangan masyarakat.
Pengerusinya, Mohammad Norizhuan Awang berkata, kempen tersebut dilaksanakan susulan tragedi kes arwah Zara Qairina Mahathir dan kesinambungan daripada program Solidariti Aman Beaufort yang dianjurkan pada 16 Ogos lalu.
“Buli bukan isu kecil, tetapi satu jenayah sosial yang boleh meranapkan masa depan mangsa serta meninggalkan trauma mendalam kepada keluarga dan masyarakat.
“Kempen ini digerakkan untuk mendidik masyarakat tentang bahaya buli, di samping menanam nilai empati dalam kehidupan seharian,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.
Antara pendekatan kempen termasuk pertandingan pidato, ceramah kesedaran di sekolah serta penghasilan bahan kreatif seperti video pendek, animasi dan poster yang akan disebarkan melalui media sosial.
“Sebagai permulaan program, kita akan mulakan dengan aktiviti walkabout di sekitar Pekan Beaufort.
"Sukarelawan mengedarkan risalah anti buli, penerangan kempen dan “button badge” kepada masyarakat terutama golongan remaja dan belia sebagai simbol sokongan terhadap usaha membanteras buli,” jelasnya.
Menurut Norizhuan, usaha untuk membanteras budaya buli tidak boleh dipikul oleh satu pihak sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama daripada dari semua pihak terutama ibu bapa, sekolah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta agensi kerajaan.
“Dengan semangat solidariti, marilah kita bersama-sama menjadi Hero Anti Buli demi mewujudkan persekitaran yang lebih selamat, harmoni dan berperikemanusiaan untuk generasi akan datang,” tambahnya.