Bom lama aktif dimusnahkan di Lahad Datu

 

LAHAD DATU: Sebutir bom lama jenis Unexploded Ordnance (UXO) Aerial Bomb yang masih aktif berjaya dimusnahkan dalam satu operasi khas di tebing Sungai Segama, Kampung Batu 8, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Hj. Ismail, berkata bom berkenaan ditemui orang awam pada 24 Ogos lalu sebelum dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Beliau berkata, siasatan lanjut mengesahkan objek berkenaan adalah bom lama yang berbahaya dan masih aktif.

Katanya, Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah dengan kerjasama UPB Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu serta UPB dari beberapa daerah lain telah menjalankan operasi pemusnahan pada jam 11.33 pagi.

“Pemusnahan dilakukan menggunakan kaedah Low Order dengan bantuan sistem elektrik dan bahan letupan khas.

“Operasi berjalan lancar tanpa sebarang kecederaan atau kerosakan harta benda dilaporkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Dzulbaharin berkata, seramai empat pegawai dan 17 anggota lain-lain pangkat terbabit dalam operasi berkenaan.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak menyentuh atau mendekati sebarang objek mencurigakan yang ditemui, sebaliknya segera melaporkan kepada pihak berkuasa bagi tindakan lanjut.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama