KUANTAN: Siasatan polis berhubung kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, 13, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Papar, Sabah, telah selesai dan kertas siasatan dijangka diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) selewat-lewatnya minggu depan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata seramai 60 saksi sudah dipanggil bagi membantu siasatan termasuk beberapa individu yang dikaitkan secara langsung dengan kes berkenaan.
“Siasatan polis sudah selesai. Kita panggil hampir 60 saksi dan saya jangka paling lewat minggu depan, polis akan serahkan kertas siasatan kepada AGC untuk tindakan selanjutnya.
“Tugas polis adalah menjalankan siasatan... panggil saksi untuk bantu lengkapkan siasatan, kenal pasti perkara penting seperti kewujudan mayat, motif, atau senjata. Itu semua berada dalam skop siasatan polis,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Tamat Latihan Kursus Asas Maritim Malaysia di Pangkalan Maritim Malaysia, Gebeng, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata keputusan sama ada kes itu akan dibawa ke mahkamah atau sebaliknya adalah bergantung kepada pertimbangan AGC berdasarkan dapatan siasatan pihak polis.
Ketika ditanya mengenai tindakan ibu mangsa, Noraidah Lamat, 45, yang mahu kubur anaknya digali semula untuk tujuan bedah siasat, beliau menjelaskan perkara itu dibenarkan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.
“Proses yang dilakukan bonda kepada Zara Qairina ini adalah proses yang dibenarkan mengikut lunas undang-undang,” katanya.
Terdahulu, Noraidah dilaporkan berkata beliau telah mengarahkan dua peguam bagi menguruskan permohonan penggalian semula kubur anaknya bagi membolehkan bedah siasat dijalankan selepas timbul pelbagai persoalan berhubung punca sebenar kematian.
Menurutnya, pengebumian anaknya pada malam 17 Julai lalu dibuat tanpa sebarang proses bedah siasat kerana tiada pihak mencadangkan perkara itu kepadanya.
Dalam kejadian jam 3 pagi, 16 Julai lalu, Zara Qairina ditemui dalam keadaan parah di bawah bangunan asrama sekolah sebelum dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, namun disahkan meninggal dunia keesokan harinya.
Sebelum ini, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, memaklumkan seramai 60 individu telah diambil keterangan termasuk tiga individu dikenali sebagai 'Kak Wana', 'Kak Dedeng' dan 'Tomboi' yang dikaitkan dalam siasatan kes berkenaan.
Polis turut tidak menolak kemungkinan wujud unsur buli dalam kejadian itu namun siasatan terperinci kini berada di peringkat analisis oleh Bukit Aman.