![]() |
Hendrus sewaktu ditemui media di Kg Masalog, Kota Marudu |
KOTA MARUDU: Penanaman jagung bijian secara moden di sini menjadi harapan baharu kepada penduduk, khususnya golongan belia yang sebelum ini tidak melihat pertanian sebagai pilihan kerjaya.
Pembantu Menteri I Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Hendrus Anding berkata, projek itu mampu membawa perubahan besar kepada sosioekonomi kawasan.
"Sebelum ini, ramai belia tidak berani ceburi bidang penternakan seperti ayam pedaging, itik dan puyuh kerana harga makanan ternakan terlalu mahal.
"Puncanya? Sebab jagung, iaitu bahan utama makanan haiwan, terlalu bergantung pada import dari luar negara,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tandek berkata, bila bekalan jagung tempatan meningkat, harga makanan haiwan boleh diturunkan sekali gus menggalakkan penglibatan lebih ramai penternak muda.
"Harga makanan lebih murah bermakna kos operasi penternak turun. Ini akan dorong lebih ramai belia-beliawanis untuk ambil bahagian secara serius," katanya lagi.
Menurutnya, walaupun pengeluaran belum mencukupi, projek itu sudah menunjukkan kesungguhan dengan penyediaan tanah, kerja pembersihan, dan pemasangan jentera oleh pihak syarikat.
"Kami mahu pastikan anak-anak muda tempatan bukan sekadar tengok, tapi jadi tenaga kerja separuh mahir yang menguruskan ladang-ladang moden ini," ujarnya.
Beliau berkata, ketika ini kebanyakan juruteknik dibawa dari luar, namun dalam masa terdekat, belia tempatan akan diberi latihan dan peluang mengambil alih operasi ladang sepenuhnya.
"Ini bukan sekadar projek pertanian, ini permulaan untuk gerakkan ekonomi setempat dan lahirkan usahawan muda dalam sektor makanan negara," tambahnya.