Bedah siasat Zara Qairina: Rider Food Panda sanggup berhenti hantar pesanan, beri sokongan moral di HQE I

 

Caption: Abg ‘rider’ hadir beri sokongan di HQE 1, hari ini. #justiceforzara

KOTA KINABALU: Dua orang 'rider' Food Panda sanggup berhenti seketika daripada menghantar pesanan untuk hadir memberi sokongan kepada ahli keluarga Allahyarham Zara Qairina di Hospital Queen Elizabeth (HQE) I.

Mohd Fazil Arifin, 30 berkata perasaan itu hadir daripada rasa kemanusiaan dan tanggungjawab untuk bersuara agar budaya buli di sekolah dihentikan.

“Salah satu sebabnya kemanusiaan. Kami berdua sudah berkahwin, ada anak, bersekolah. Tidak salah untuk kami sama-sama bersuara.

“Lagipun, kami juga orang Papar dan kejadian itu berlaku di sana,” katanya ketika ditemui pemberita di depan pintu masuk Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE1), di sini, hari ini. 

Hari ini, prosedur bedah siasat (post-mortem) dijalankan ke atas mangsa bagi memperoleh maklumat dan bukti tambahan untuk melengkapkan siasatan kes kematian arwah Zara Qairina. 

Salah seorang 'rider' Food Panda, Reney Jamiul, 35, turut menyatakan rasa simpati terhadap keluarga mangsa, dan mengakui kejadian itu membuatkan mereka trauma untuk menghantar anak perempuan bersekolah di asrama penuh.

“Anak perempuan saya pun sepatutnya masuk asrama, tapi disebabkan kejadian ni, saya jadi trauma. Memang saya tidak mahu masukkan anak saya ke asrama kalau macam itu,”ujarnya.

Menurut beliau, isu buli hanya boleh dibendung jika ada gerakan dan suara tegas yang membuatkan pelaku berasa takut untuk mengulanginya.

“Mungkin kali ini kita patut suarakan supaya kes buli dapat dihentikan dan budak-budak sekolah itu takut untuk membuli sebab dari dulu sampai sekarang buli itu tetap ada,” tambahnya. 

Terdahulu, kes kematian membabitkan seorang pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha tular sejak bulan lalu dan telah mencetuskan kemarahan orang ramai untuk menuntut keadilan buatnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama