Pemandu disyaki mabuk rempuh wanita ketika berjogging

Mangsa yang parah dibawa ke hospital menggunakan ambulans. Foto / tular media sosial.

TAWAU: Gara-gara sikap tak bertanggungjawab memandu dibawah pengaruh alkohol seorang wanita kini bertarung nyawa di hospital selepas dirempuh dalam kemalangan ngeri di Batu 9, Jalan Apas, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.55 malam itu, mangsa berusia 41 tahun sedang melakukan aktiviti riadah berjoging bersama beberapa rakan dari Bandar Sri Indah menuju T2 Jalan Apas, sebelum dirempuh Toyota Hilux dipandu lelaki berusia 57 tahun yang disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, sebelum kejadian, pikap terbabit terlebih dahulu melanggar belakang sebuah Perodua Alza dipandu lelaki berusia 39 tahun yang dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Tawau.

“Akibat pelanggaran itu, pemandu pikap hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan merempuh mangsa yang sedang berlari di tepi jalan.

“Mangsa tidak sempat mengelak dan dilaporkan parah dan kini kritikal di Hospital Tawau, manakala kedua-dua pemandu kenderaan tidak cedera,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jasmin berkata, suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut sementara menunggu keputusan analisis ujian darah dari Jabatan Kimia.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara tujuh hingga 10 tahun, denda RM50,000 hingga RM100,000 serta hilang kelayakan lesen sekurang-kurangnya 10 tahun jika sabit kesalahan," katanya 

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai agar mengelakkan aktiviti berjoging di jalan raya pada waktu malam kerana risiko berdepan pemandu cuai atau mabuk.

“Gunakan laluan jogging atau kawasan selamat dan bercahaya demi keselamatan diri,” katanya.

Insiden itu turut tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi daripada netizen selain mencetuskan kemarahan dengan melabel pemandu mabuk sebagai sikap tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri sendiri selain mendesak hukuman lebih berat dikenakan.

“Kalau mau mabuk jangan bawa kereta, kau bukan saja bahaya diri sendiri, tapi nyawa orang lain jadi taruhan,” tulis seorang netizen di Facebook.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama