![]() |
Gambar ihsan Bomba |
SIPITANG: Empat blok bangunan termasuk rumah sewa dan surau musnah dalam kebakaran di Batu 7, Kampung Pantai Jalan Sogip, di sini pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sipitang, Calvin Joe Jeafery berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.19 pagi sebelum enam anggota bersama dua jentera dikerahkan ke lokasi.
Menurutnya, setibanya di lokasi lapan minit kemudian, kebakaran membabitkan sebuah rumah dan kedai separuh kekal, sebuah blok rumah sewa 30 pintu, sebuah rumah sewa dua pintu serta sebuah surau.
“Keseluruhan struktur terlibat mengalami kemusnahan antara 98 hingga 100 peratus, namun tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran 300 kaki serta dua pancutan air dengan kaedah ofensif, sebelum api berjaya dikawal pada jam 8.32 pagi.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.45 pagi selepas bomba memastikan tiada lagi risiko berbahaya di kawasan terbabit,” ujarnya lagi.