![]() |
Japlin (tengah) ketika ditemui media di Istana Seri Kinabalu, pada Jumaat. |
KOTA KINABALU: Festival Kebudayaan Rumpun Bajausama diharap mampu memperkenalkan budaya etnik itu ke peringkat antarabangsa.
Pengerusi Jawatankuasa Induk Festival Kebudayaan Rumpun Bajausama Datuk Japlin Akim berkata festival yang berlangsung selama empat hari mulai Rabu depan, dapat mewujudkan perpaduan yang harmoni dalam kalangan masyarakat di negeri ini, selain memperkasakan lagi budaya etnik berkenaan.
"Kita mengharapkan festival ini akan mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat kita di negeri Sabah.
"Selain daripada itu, festa kebudayaan ini dapat memartabat dan memperkasakan lagi budaya suku kaum Bajausama yang ada.
"Pada masa yang sama, kita ingin memperkenalkan budaya Bajausama bukan sahaja di peringkat negara, tetapi juga di peringkat antarabangsa untuk menarik para pelancong supaya mereka tahu tentang keunikan budaya khususnya budaya suku kaum Bajausama dan budaya negeri Sabah yang unik," ujarnya.
Beliau yang ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Jumaat, memaklumkan kunjungan tersebut bertujuan untuk menyampaikan jemputan rasmi kepada Tun Musa sebagai tetamu kenamaan seterusnya merasmikan festival berkenaan pada 10 Ogos ini.
Tambah Japlin, pihaknya menyasarkan kehadiran lebih 10,000 pengunjung sepanjang tempoh festival yang akan berlangsung di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama dekat Tuaran.
Antara yang mengiringi beliau ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Festival Kebudayaan Rumpun BajauSama Profesor Datuk Dr. Kasim Mohd Mansur, Timbalan Presiden Persatuan Rumpun Bajausama Datuk Musbah Jamli.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)