Peguam keluarga mangsa, Hamid Ismail, berkata prosiding terbuka itu ditetapkan jam 9 pagi di hadapan koroner.
"Sebutan untuk inkues ditetapkan esok di Mahkamah Kota Kinabalu pada jam 9 pagi,” katanya menerusi pesanan ringkas melalui WhatsApp kepada media, hari ini.
Menurut beliau, Jabatan Peguam Negara (JPN) telah memfailkan permohonan inkues berkenaan dan sebutan esok akan menentukan tarikh permulaan prosiding penuh.
"Dalam sebutan esok, mahkamah akan menetapkan tarikh permulaan inkues. JPN pula akan memaklumkan jumlah saksi yang akan dipanggil.
"Kami sebagai peguam ibu Zara juga akan memohon untuk terlibat secara langsung dalam prosiding,” katanya.
Sebelum ini, pihak keluarga memohon agar inkues diadakan bagi menentukan punca sebenar kematian pelajar berkenaan.
Jabatan Peguam Negara pada 13 Ogos lalu turut mengesahkan inkues perlu dijalankan selepas meneliti laporan siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertarikh 12 Ogos.
Menurut kenyataan AGC, prosiding itu penting untuk menentukan sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya dalam kes kematian Zara Qairina.
"Setelah jabatan ini meneliti laporan siasatan yang dikemukakan PDRM pada 12 Ogos 2025, jabatan ini memutuskan agar inkues dijalankan selaras subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593).
"Prosiding ini bertujuan menentukan punca dan sebab kematian termasuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya," menurut kenyataan itu.
AGC turut menegaskan prosiding akan dikendalikan secara bebas dan telus mengikut peruntukan undang-undang.
Kes kematian Zara Qairina sebelum ini mendapat perhatian umum selepas keluarga tampil menuntut jawapan jelas terhadap insiden yang menimpa arwah.
