Warga asing kantoi edar dadah bakal ke tali gantung

 

LAHAD DATU: Seorang lelaki warga asing berusia 30 tahun dicekup selepas disyaki aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah dalam serbuan di Kampung Pisang, Jalan Bakawali, di sini pada Isnin.

Suspek ditahan kira-kira jam 10.30 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu menerusi Ops Tapis.

Hasil pemeriksaan menemui sejumlah dadah disyaki jenis ketamin dan pil ekstasi dengan nilai keseluruhan hampir RM18,000, dipercayai untuk edaran tempatan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau berkata, serbuan dilakukan berdasarkan risikan dan maklumat awam berkaitan aktiviti pengedaran dadah di kawasan berkenaan.

“Pasukan serbuan berjaya merampas 13.12 gram ketamin bernilai RM2,624 dan 89.63 gram pil ekstasi dianggarkan bernilai RM14,900.

“Polis turut merampas wang tunai RM537 serta sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk urusan jual beli dadah,” katanya dalam kenyataan semalam.

Jimmy berkata, semakan lanjut mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan dipercayai masuk ke negara ini secara haram.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

“Keseluruhan rampasan telah dibawa ke IPD Lahad Datu untuk tindakan lanjut, manakala suspek kini direman bagi membantu siasatan.

“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah. Tindakan tegas akan diambil tanpa mengira latar belakang,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama