Sabah lancar Borneo.TV platform digital angkat budaya ke persada dunia

Hajiji ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Borneo.TV , pada Selasa.

KOTA KINABALU: Sabah terus mengorak langkah dalam dunia penyiaran digital apabila melancarkan Borneo.TV, sebuah platform penstriman baharu yang mengetengahkan wajah, suara dan budaya negeri ke persada dunia.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata platform dengan slogan “Cerita Sabah di Mata Dunia” (“Sabah in the Eyes of the World”) itu bakal menjadi saluran utama menyampaikan kandungan sahih, dokumentari asli, seni budaya dan keindahan alam semula jadi Sabah melalui pendekatan digital yang lebih moden, fleksibel dan global.

"Pelancaran Borneo.TV adalah langkah tepat dalam era media penstriman Over-The-Top (OTT) yang tidak lagi bergantung kepada saluran konvensional, selain memberi peluang kepada pencipta kandungan tempatan menembusi pasaran lebih luas.

“Perubahan gaya hidup masyarakat hari ini daripada komunikasi hingga hiburan, segalanya dipacu digital. Borneo.TV adalah respons tepat kepada perubahan ini dan peluang untuk kita tampil dengan kandungan sendiri.

“Ini bukan sekadar pelancaran media digital, tetapi satu pentas untuk anak-anak Sabah berkarya dan membentuk citra negeri melalui naratif sendiri,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Borneo.TV di Menara Kinabalu, pada Selasa.

Menurut Hajiji, kerajaan negeri memberi sokongan penuh terhadap pelaksanaan Borneo.TV kerana ia bukan sahaja platform penyiaran, malah medium strategik menyampaikan cerita sebenar rakyat Sabah kepada dunia.

"Dunia penyiaran hari ini menuntut kreativiti, keberanian dan kepekaan terhadap kehendak penonton. Saya mahu Borneo.TV jadi ruang untuk mencabar norma, mengetengahkan idea baharu dan memperkenalkan wajah sebenar Sabah.

"Para petugas Borneo.TV harus melihat tugas mereka bukan sekadar rutin teknikal, tetapi sebagai satu bentuk seni kreatif yang membina imej negeri. Kandungan yang diterbitkan mesti membawa nilai, identiti dan naratif yang membina.

"Penggiat seni, pengaruh digital serta pemain industri kreatif tempatan agar memanfaatkan Borneo.TV sebagai pentas mengetengahkan karya asli dan suara masyarakat Sabah secara inklusif dan berwibawa," ujar beliau. 

Majlis tersebut turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan negeri yang diwakili oleh Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) dengan IB Media Consultant Work Sdn Bhd, syarikat pengendali Borneo.TV yang beroperasi tanpa sebarang dana daripada kerajaan negeri.

“Model pelaksanaan ini membuktikan komitmen dan kepercayaan sektor swasta terhadap potensi penyiaran digital di Sabah. Saya yakin pendekatan ini akan meletakkan Borneo.TV sebagai platform yang berdaya saing dan mampan.

“Saya menyeru semua pihak-kerajaan, swasta dan masyarakat, untuk bersama menyokong usaha ini dan menggunakan ruang ini untuk mencipta, berkongsi dan menyampaikan naratif Sabah sebagaimana yang kita sendiri mahu dunia melihatnya,”jelas beliau.

Turut mengiringi, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Jahid Jahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Sr. Safar Untong dan Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Seri Dr. Sabin Samitah.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama