GRS hormati proses undang-undang, tidak lindungi salah laku - Nizam

 

KOTA KINABALU: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana salah laku termasuklah membabitkan wakil rakyat kerajaan negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata kerajaan negeri akan terus berpegang kepada prinsip kedaulatan undang-undang dalam setiap tindakan.

Katanya, beliau menyokong penuh pendirian tegas Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, yang tidak campur tangan dalam pendakwaan dua ADUN di mahkamah baru-baru ini.

“Pendirian ini jelas menunjukkan kerajaan GRS mengutamakan integriti, kebertanggungjawaban dan menghormati proses undang-undang. 

“Isu pendakwaan terhadap dua ADUN terbabit bersifat peribadi dan biarlah proses undang-undang berjalan secara telus dan adil,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, seperti ditegaskan Ketua Menteri, kerajaan negeri tidak akan membuat sebarang keputusan tergesa-gesa atau tunduk kepada desakan politik.

“Namun, sebaliknya menunggu laporan lengkap sebelum meneliti kedudukan kedua-dua ADUN berkenaan,” katanya

Beliau yang juga Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah menegaskan, kerajaan negeri tidak akan sesekali melindungi mana-mana individu yang terbabit dalam salah laku.

“Pada masa sama, kita juga tidak akan membenarkan mana-mana pihak menggunakan isu ini untuk menggugat kestabilan kerajaan negeri yang sah, kukuh dan sedang bekerja keras membangunkan Sabah.

“Biarlah mahkamah menentukan sama ada seseorang itu bersalah atau tidak kerana setiap individu berhak mempertahankan diri dan kita wajib berpegang kepada prinsip bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah di mahkamah,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri akan terus berfungsi seperti biasa dan tidak akan goyah dengan sebarang cubaan yang bertujuan menggugat kestabilan pentadbiran sedia ada.

“Fokus utama kerajaan GRS tetap kepada pembangunan negeri, menarik pelaburan dan memastikan kesejahteraan rakyat Sabah terus terbela,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama