UMNO sasar 25 hingga 30 kerusi PRN Sabah

 

PONTIAN: UMNO dijangka bertanding antara 25 hingga 30 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang akan diadakan tahun ini dengan fokus utama memastikan kemenangan calon.

Memetik sumber Sinar Harian, Ketua Sekretariat War Room UMNO Pusat, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sasaran jumlah kerusi itu dibuat secara realistik berdasarkan potensi kemenangan dan kekuatan jentera parti yang telah digerakkan lebih awal sejak tahun lalu.

Katanya, UMNO dan Barisan Nasional (BN) kali ini lebih bersedia berbanding PRN Sabah 2020 menerusi pendekatan berfokus yang diterajui pimpinan negeri.

“Kita tidak mahu lagi berdepan situasi persiapan yang lewat seperti PRN lepas. Langkah kali ini lebih teratur dan menyeluruh bagi memastikan kemenangan calon UMNO dan BN di kawasan ditandingi.

“Harapan kita, kalau kita bertanding 25, kita menang 25. Kalau kita bertanding 30, kita menang 30. Yang penting bukan jumlah banyak, tetapi jumlah menang yang besar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Sekolah Agama Parit Semerah dan Penyampaian Anugerah Pelajar di Dewan Muafakat, Taman Saujana, di sini.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, penyusunan jentera pilihan raya di semua peringkat telah dimulakan sejak setahun lalu, selain pemantapan struktur parti di akar umbi.

Beliau turut memaklumkan bahawa Pengerusi UMNO Sabah merangkap Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin telah mengenal pasti beberapa calon berpotensi yang akan diketengahkan pada PRN kali ini.

“Selama tiga hari saya berada di Sabah baru-baru ini, saya dapati jentera UMNO, BN dan rakan komponen seperti Pakatan Harapan (PH) sudah bergerak lebih awal,” katanya.

Terdahulu, Bung Moktar menyasarkan untuk bertanding di 40 kerusi pada PRN kali ini tanpa sebarang kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Sementara itu, Ahmad turut mengesahkan bahawa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 yang sepatutnya berlangsung pada 20 hingga 23 Ogos ini telah ditangguhkan ke 26 hingga 29 November bagi memberi laluan kepada persiapan PRN Sabah.

“Keputusan penangguhan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO seperti dimaklumkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Johor turut memaklumkan bahawa beberapa bahagian UMNO Johor telah diberikan tanggungjawab sebagai ‘bapa angkat’ di kawasan-kawasan tertentu di Sabah bagi membantu gerak kerja jentera menjelang PRN.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama