Guru wanita maut ditetak abang kandung di Tenghilan

Gambar ihsan PDRM

TUARAN: Seorang guru wanita maut selepas dipercayai ditetak abang kandungnya sendiri dalam kejadian di Kampung Tenghilan, Tamparuli, di sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian itu, mangsa berusia 41 tahun ditemukan terbaring dalam keadaan berlumuran darah di belakang rumah keluarganya dengan kecederaan parah di bahagian leher dan kepala.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag Maidin berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai diserang menggunakan senjata tajam sehingga menyebabkan kecederaan serius termasuk pada bahagian mata.

“Kejadian disedari ahli keluarga sebelum segera memaklumkan kepada pihak polis.

“Suspek yang juga abang kandung mangsa berusia 47 tahun ditahan polis di lokasi kejadian pada hari yang sama,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut beliau, suspek dipercayai mengalami masalah mental dan pernah menerima rawatan susulan di fasiliti kesihatan.

“Bedah siasat ke atas mayat mangsa telah dijalankan di Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) hari ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

“Sebarang maklumat berkaitan kes ini boleh disalurkan ke Hotline Polis Tuaran di talian 088-794313 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.





Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama