UMNO Sabah silap tinggalkan kerajaan negeri - Rahman Dahlan


KOTA KINABALU: Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menyifatkan keputusan UMNO Sabah keluar daripada kerajaan negeri sebagai satu kesilapan besar yang melemahkan kedudukan dan pengaruh parti itu di Sabah.

Dalam satu temu bual, Rahman yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, meskipun beliau tetap mengiktiraf kepimpinan Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai Ketua UMNO Sabah, beliau berbeza pandangan dalam pendekatan menangani isu politik negeri.

“Ketua saya masih Datuk Seri Bung Moktar. Itu tidak boleh dinafikan. Selagi beliau di situ, dia ketua kita. Tapi saya mempunyai sedikit perbezaan pendekatan dalam menangani isu-isu politik di Sabah,” katanya.

Rahman berkata, keputusan untuk menarik UMNO keluar daripada kerajaan negeri yang dikenali sebagai 'Langkah Kinabalu' itu menyebabkan parti ini kehilangan kuasa.

“Tindakan itu juga turut memadam kedudukan strategik UMNO dalam pentadbiran negeri yang penting untuk menjaga kepentingan rakyat.

“Saya tidak setuju untuk keluar daripada kerajaan negeri. Pada saya, itu satu kesilapan besar. Jika ada menteri UMNO tidak puas hati dengan kerajaan ketika itu, opsyen lain ialah meletakkan jawatan, bukan membawa keluar seluruh parti daripada kerajaan,” katanya

Menurutnya, tindakan itu mengakibatkan UMNO bukan sahaja hilang kedudukan dalam kerajaan negeri, malah turut kehilangan empat menteri, enam pembantu menteri dan lebih 2,000 jawatan akar umbi yang sebelum ini dipegang oleh pemimpin-pemimpin UMNO.

“Kita juga kehilangan lima orang ADUN dan dua ahli Parlimen. Kalau itu bukan satu kemudaratan, saya tidak tahu apa lagi. Realitinya, kita menjadi lemah,” katanya.

Mengulas lanjut, Rahman menegaskan bahawa UMNO perlu kekal berada dalam kerajaan bagi memastikan parti itu terus dihormati dan berpengaruh dalam landskap politik Sabah.

“Apabila kita tidak berada dalam kerajaan negeri, kita hilang kedudukan yang dihormati. Orang akan memperlekehkan kita. Sebab itu saya mahukan kita berada bersama kerajaan negeri.

“Biarpun ada pihak mendakwa UMNO Sabah kini semakin kuat, namun secara realiti, kekuatan itu telah terjejas dengan tindakan yang tidak strategik dan merugikan jangka panjang,” katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama