Bapa tergamak rogol anak tiri kena jel 24 tahun

Tertuduh lelaki warga Filipina dipenjara 24 tahun atas kesalahan merogol anak tirinya, Februari lalu. (BLURkan muka tertuduh).

TAWAU : Seorang bapa yang tergamak merogol anak tirinya menerima hukuman setimpal apabila dikenakan hukuman penjara 24 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Ahmad Faizadh Yahaya membuat keputusan itu selepas tertuduh berusia 55 tahun mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 376A Kanun Keseksaan. 

Lelaki yang juga pendatang asing tanpa izin (PATI) berasal dari Filipina itu didakwa merogol mangsa yang ketika kejadian berumur 17 tahun di sebuah ladang kelapa sawit dalam Daerah Semporna pada Februari lalu.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara antara 10 sehingga 30 tahun dan juga sebatan.

Bagaimanapun, mahkamah tidak mengenakan hukuman sebat memandangkan tertuduh telah melebihi usia 50 tahun.

Ahmad Faizadh dalam penghakimannya berkata, dalam menjatuhkan hukuman Mahkamah mengambil kira pertuduhan, jenis kesalahan yang dilakukan, fakta kes dan juga faktor kepentingan awam.

"Tertuduh telah mengaku bersalah dan Mahkamah telah menerima pengakuan salah tertuduh dan mensabitkannya dengan pertuduhan.

"Setelah meneliti faktor-faktor tersebut dan mempertimbangkan hujahan daripada kedua-dua belah pihak, Mahkamah dengan ini menjatuhkan hukuman penjara selama 24 tahun bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 2 April 2025," katanya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh di rujuk ke Jabatan Imigresen untuk dihantar pulang ke negara asal setelah selesai menjalani hukuman pemenjaraan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shearil Aizad Murnizam manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu Shearil Aizad dalam hujahnya memohon hukuman hukuman berat berbentuk pencegahan sebagai mesej jelas kepada masyarakat dan tertuduh sendiri bahawa Mahkamah ini tidak mengambil ringan terhadap jenayah rogol dan pelaku jenayah seksual.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama