Sabah belanja hampir RM1 bilion untuk pendidikan dari 2021 hingga 2024


KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak RM848.26 juta untuk pelbagai bantuan pendidikan dari tahun 2021 hingga 2024, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

“Komitmen Kerajaan Negeri terhadap pembangunan modal insan amat jelas kerana kita percaya setiap anak Sabah berhak mendapat pendidikan yang berkualiti dan saksama.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri sentiasa memberi perhatian serius terhadap pembangunan modal insan melalui Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya,” katanya semasa majlis makan malam Konvensyen Pendidikan Kali ke-29 dan Persidangan Agung Perwakilan Kali ke- 3 Persatuan Guru Besar Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) malam ini.

Ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan.

Hajiji berkata sepanjang lima tahun lepas, sebanyak 14 inisiatif baharu telah diperkenalkan melibatkan peruntukan berjumlah RM164.14 juta, yang telah memberi manfaat kepada 210,918 pelajar di Sabah.

“Antaranya ialah bantuan tunai pendaftaran kemasukan IPT atau BUDI, program Graduan Rindu Sabah (GRS - SUBFLY) dan Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri (SENTOSA).

“Semua inisiatif ini mencerminkan kesungguhan Kerajaan Negeri Sabah untuk membina sistem pendidikan yang inklusif, progresif dan lestari,” katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri berkata dalam era transformasi digital dan pendidikan abad ke-21 ini, peranan guru besar sangat penting dan mereka perlu bersedia menghadapi cabaran serta berinovasi dalam pendekatan masing-masing.

“Ini seiring dengan peranan guru besar sebagai tonggak utama dalam sistem pendidikan dan kepemimpinan sekolah. Kualiti sesebuah sekolah amat bergantung kepada keberkesanan kepemimpinan guru besar dalam mentadbir, membimbing warga pendidik, dan memacu pembaharuan pendidikan yang selaras dengan aspirasi negara,” katanya.

Hajiji berkata konvensyen ini merupakan platform penting untuk semua berkongsi pengalaman, idea, dan strategi dalam memacu kecemerlangan pendidikan di peringkat sekolah.

“Peranan guru besar sangat penting dalam membentuk generasi masa depan. Saya percaya melalui perkongsian ilmu dan pengalaman dalam konvensyen ini, kita dapat mempertingkatkan lagi kualiti kepimpinan dan pengurusan sekolah.

“Marilah kita bersama-sama melahirkan insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan terhadap peranan Kesatuan Guru Besar Malaysia sebagai sebuah badan yang aktif memperjuangkan profesionalisme kepimpinan sekolah rendah di seluruh negara.

“Semoga konvensyen ini membuahkan hasil yang cemerlang kepada semua guru besar yang terlibat dalam memastikan pemerkasaan berterusan terhadap para pelajar.

“Justeru, marilah kita berganding bahu memartabatkan profesion perguruan, memperkukuh peranan guru besar dan terus berusaha memperkasakan anak bangsa,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama