Tuduhan Jeffrey dikaitkan skandal rasuah lesen perlombongan mineral hanya percaturan politik

Jafery Jomion, Pengerusi Tetap STAR Labuan.

KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah menafikan percubaan mengaitkan Presidennya, Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan berhubung dakwaan skandal rasuah berkaitan lesen perlombongan mineral membabitkan beberapa pemimpin politik negeri ini.

Pengerusi Tetap STAR Labuan, Jafery Jomion berkata, dakwaan tersebut hanyalah percaturan politik yang cuba mencalarkan imej dan integriti Jeffrey menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijadualkan berlangsung pada tahun ini.

“Saya terpanggil untuk memberikan respon susulan laporan media yang cuba mengaitkan Presiden Parti STAR Sabah dengan dakwaan tersebut. Ini adalah tuduhan tanpa bukti dan sekadar permainan persepsi,” katanya dalam satu kenyataan media pada Ahad lalu. 

Menurut Jafery, STAR tetap berdiri teguh bersama Jeffrey yang digambarkan sebagai tokoh pejuang hak Sabah dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sejak era 1980-an.

“Presiden kami bukan pemimpin sehari dua. Beliau pernah dipenjara tujuh bulan bahkan, selama dua tahun kerana memperjuangkan hak Sabah. Beliau tidak mudah goyah hanya kerana fitnah,” katanya.

Dalam pada itu, Jafery turut menjelaskan bahawa pihaknya menolak sebarang cubaan untuk menjatuhkan pemimpin melalui tekanan media atau provokasi yang belum dibuktikan di mahkamah.

“Malaysia negara yang menjunjung prinsip 'rule of law', Jika ada siasatan, biarlah SPRM jalankan tugas tanpa gangguan politik. Jangan hukum sebelum dibuktikan,” tegasnya.

Beliau turut menyatakan keyakinannya terhadap rakyat Sabah yang disifatkan matang untuk menilai pemimpin yang mempunyai prinsip.

“Rakyat tahu siapa yang benar-benar perjuangkan hak Sabah. Suara konsisten seperti presiden kami sebenarnya ancaman kepada sistem lama,” katanya.

Jafery turut menegaskan bahawa STAR tidak berdiri atas nama individu semata-mata, sebaliknya kerana yakin kepada prinsip dan dasar yang diperjuangkan.

“Yang benar tetap benar walau bersendirian, yang salah tetap salah walau disokong lautan manusia,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama