![]() |
Rosli ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Tatakelola Berintigriti: Teras Transformasi Perkhidmatan Awam di Pusat Konvensyen (SICC), hari ini. |
KOTA KINABALU: Penjawat awam yang terpalit dalam kes rasuah tidak akan diberi perlindungan bagi menekankan usaha memperkasa nilai integriti dalam perkhidmatan awam.
Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Seri Rosli Isa menegaskan bahawa pihaknya tidak akan menghalang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengambil tindakan sekiranya wujud salah laku melibatkan penjawat awam dalam kes rasuah.
Katanya, peranan jabatan adalah memberi kefahaman, memantau serta menasihati, manakala tugas penguatkuasaan sepenuhnya adalah di bawah agensi SPRM.
“Tugas kita ialah menjaga tatakelola. Jika ada yang terlibat dalam kes rasuah, pihak SPRM berhak mengambil tindakan.
"Sebab itu penting untuk kita semai nilai integriti secara berterusan, kerana apabila seseorang individu melakukan kesalahan, dia perlu bertanggungjawab sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Tatakelola Berintegriti: Teras Transformasi Perkhidmatan Awam bertempat di Dewan Sipadan, Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Eksekutif SEDIA, Datuk Seri Panglima Haji Hashim Painjan dan Pengarah SPRM Negeri Sabah, Datuk TPJ Karunanithy A/L Y. Subbiah.
Dalam pada itu, Rosli turut berkata anggaran jumlah penjawat awam di Sabah sebanyak 126,000 orang bagi sektor Persekutuan manakala 27,000 orang bagi kakitangan kerajaan negeri.
“Kita mahu semua penjawat awam memberi nilai integriti yang tinggi demi mencapai cita-cita membentuk kerajaan Madani yang berakhlak dan beretika, yang mencerminkan keperibadian sebenar rakyat Sabah dan Malaysia,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa kerajaan sentiasa bekerjasama dengan semua Ketua Jabatan di peringkat Persekutuan dan negeri bagi memastikan kes salah laku, masalah disiplin serta rasuah dalam kalangan penjawat awam dapat dikurangkan.
Mengulas mengenai program hari ini, Rosli memberitahu seramai 800 peserta menyertai seminar yang dianjurkan Sabah Economic Development and Investment Authority (SEDIA) dan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN Sabah) itu.