Tuan sebenar bukan di sana, tetapi rakyat Sabah - Armizan


KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan bahawa rakyat Sabah adalah pemegang kuasa sebenar dalam menentukan masa depan negeri ini, dan bukan mana-mana pemimpin atau gabungan dari luar negeri.

Timbalan Setiausaha GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata beliau tidak berhasrat untuk mengulas lanjut kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa gabungan politik itu menolak untuk menjalin kerjasama dengan pihaknya.

Walau bagaimanapun, beliau berkata pihaknya perlu berterima kasih kepada bekas Perdana Menteri itu kerana kenyataan terbabit secara tidak langsung mengesahkan tiada rundingan atau kerjasama antara PN dan GRS.

“Ini memudahkan kerja kami di GRS kerana kenyataan itu bukan datang dari kita, tetapi dari pihak mereka.

“Kalau kita yang sebut, mungkin kita dilihat angkuh. Tapi bila mereka yang menyatakan penolakan terhadap kerjasama itu, ia membolehkan kita terus melangkah ke depan tanpa perlu berpolemik.

"Saya tidak berhasrat mengulas lanjut berhubung kenyataan Tan Sri Muhyidin. Dalam politik, saya dididik Datuk Seri Hajiji Noor untuk mengelakkan bercakap berkaitan individu, apatah lagi bila menyentuh seorang mantan Perdana Menteri yang amat dihormati.

"Namun, saya fikir kita perlu melihat nilai dan makna di setiap apa yang berlaku. Kita dapat dengar dalam ucapan mereka menyebut kita angkat Hajiji menjadi wakil rakyat, kita pilih Hajiji menjadi Ketua Menteri. Ke depan, inilah yang perlu kita rintis perubahan dalam politik Sabah.

"Berada dalam gabungan dan parti nasional, pasti akan ada sentimen sebegitu. Ini kerana, untuk menjadi calon pilihan raya, pilihan dan watikah akan dikeluarkan oleh pimpinan dari Semenanjung Malaysia.

"Calon Ketua Menteri pula adalah daripada ketua pimpinan di negeri, yang dilantik oleh juga pimpinan dari Semenanjung Malaysia. Maka, siapa juga dipilih akan dituntut untuk setia dan patuh kepada pimpinan utama parti di sana," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata prosedur pemilihan calon itu berbeza apabila melibatkan parti tempatan.

"Berbeza dengan parti lokal, calon-calon diputuskan dan watikah dikeluarkan oleh ketua parti lokal sendiri, dan Ketua Menteri adalah kalangan ketua parti-parti lokal yang dipilih oleh orang kita di Sabah sendiri.

"Ke depan, sudah tiba masa kita hantar isyarat bahawa the master is not there, the master is here, the ultimate master is the rakyat of Sabah ('tuan' bukan dari sana, tuan sebenar adalah disini, tuan yang sebenar adalah rakyat Sabah)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutupan Festival Pengguna (Confest 2025) anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Armizan turut berkata penegasan itu juga selari dengan sentimen akar umbi di Sabah yang kini mahu melihat perubahan sebenar, berasaskan keutamaan dan suara rakyat Sabah sendiri.

“GRS tidak mahu lagi bergantung kepada kuasa luar dalam membuat keputusan penting seperti pemilihan calon atau pelantikan Ketua Menteri.

Kita mahu semua itu diputuskan oleh rakyat dan kepimpinan di negeri ini sendiri,” katanya.

Menurutnya, pendekatan GRS memperjuangkan parti tempatan adalah untuk mengembalikan kuasa sepenuhnya kepada rakyat Sabah.

“Kita tidak mahu lagi cerita-cerita bahawa ‘kami yang angkat kamu jadi Ketua Menteri’, ‘kami yang beri watikah calon’. Kita tidak mahu ada lagi rasa terhutang budi kepada pusat.

“Parti lokal yang kita perjuangkan ini meletakkan Sabah di tempat pertama. Pemimpin negeri dipilih oleh orang negeri, dan suara rakyat Sabah adalah penentu utama,” katanya.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama