![]() |
Suspek ditahan kerana melakukan ugutan jenayah dan mendatangkan kecederaan. Foto | Ihsan PDRM |
TAWAU: Hanya kerana tidak berpuas hati kontrak sewa kedai tidak disambung, seorang wanita bertindak luar kawalan apabila menyerang pemilik premis dalam kejadian di Taman Semarak, di sini semalam.
Dalam insiden kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, suspek berusia 36 tahun bersama empat lelaki dipercayai rakannya bertindak masuk ke dalam premis sebelum memukul dan menendang mangsa yang juga seorang wanita.
Lebih membimbangkan, suspek turut mengeluarkan ugutan mahu membakar premis terbabit serta memberi amaran tidak akan ‘melepaskan’ mangsa jika terserempak di luar.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, siasatan awal mendapati serangan bermotifkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan mangsa yang enggan menyambung kontrak sewa kedai yang dijangka tamat pasa Ogos ini.
“Bertindak atas laporan yang diterima, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau berjaya menahan dua individu, termasuk rakan suspek iaitu seorang lelaki berusia 27 tahun.
“Kedua-duanya ditahan kira-kira jam 4.30 petang hari sama di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jelas beliau, semakan mendapati suspek wanita tiada rekod jenayah lampau, namun suspek lelaki memiliki empat rekod jenayah berkaitan kes dadah dan khianat.
Menurutnya,k es disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 323 kanun sama kerana mendatangkan kecederaan.
Dalam pada itu, ACP Jasmin turut mengingatkan orang awam supaya tidak mengambil tindakan sendiri bagi menyelesaikan sebarang pertikaian.
“Sebarang isu wajar disalurkan melalui saluran yang betul dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.