CONFESS 2025 platform tingkat kesedaran kepenggunaan, kumpul input lengkapkan penggubalan DPN 2.0

PENAMPANG: Festival Kepenggunaan 2025 atau dikenali sebagai Consumer Festival (CONFESS) menjadi platform penting dalam meningkatkan kesedaran berkaitan kepenggunaan disamping mengumpul aspirasi anak muda untuk melengkapkan input penggubalan Dasar Pengguna Negara 2.0 (DPN 2.0).

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata festival yang bermula sejak 11 sehingga 13 Julai di ITCC itu dimeriahkan lebih 900 orang peserta seluruh negara melibatkan pelajar sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT).

“CONFESS 2025 menjadi medan untuk kita kumpul pandangan dan syor anak-anak muda dari seluruh negara bagi memuktamadkan DPN 2.0.

“Matlamatnya adalah untuk kita meningkatkan kesedaran konsumerisme dan juga aktivisme di kalangan rakyat kita,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Perasmian Penutup Festival Pengguna Tahun 2025 bertempat di ITCC, Penampang, di sini, pada ahad. 

Beliau turut menjelas bahawa antara empat teras DPN 2.0 iaitu memaknai lapan hak pengguna sejagat dan menentukan peranan semua stakeholders dalam usaha melindungi hak pengguna.

Selain itu, antaranya ialah membangunkan dasar yang responsif terhadap cabaran semasa, seperti AI, e-dagang dan penipuan dalam talian.

“Ianya dirangka agar responsif terhadap cabaran semasa, termasuk kemunculan teknologi seperti AI serta trend global dalam transaksi e-dagang dan media sosial yang perlu ditangani bagi melindungi hak pengguna dalam era digital.

“DPN 2.0 turut memberi tumpuan kepada cabaran global yang terkait dengan kos sara hidup,” jelasnya. 

Dalam pada itu, Armizan turut menambah bahawa DPN 2.0 kini sedang dimurnikan dan disasarkan akan dibentang kepada Jemaah Menteri pada Oktober ini sebelum mula dilaksanakan pada Januari 2026, selari dengan permulaan RMK-13.

Katanya, festival tersebut turut menjadi medan pelancaran inisiatif baharu kementerian iaitu Skuad Kita Pengguna (SKIP) yang merupakan satu gerakan awam yang bakal digerakkan sebagai jentera pelaksana dasar.

“Kita menyasarkan 25,000 ahli SKIP menjelang hujung 2025. Mereka akan jadi rakan pelaksana dalam menjayakan DPN 2.0 bersama kerajaan dan pihak berkepentingan lain,” ujar beliau. 

Sebelum ini, festival terbabit telah diadakan di Kuala Lumpur, Perak dan Pulau Pinang.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama