Tolak fahaman sempit, angkat slogan ‘Malaysia untuk Sabahan’ - Ahmad Maslan

Ahmad Maslan pada Majlis Ramah Mesra bersama UMNO Bahagian Kalabakan, di sini, malam tadi.

TAWAU: Slogan ‘Sabah for Sabahan’ disifatkan sebagai retorik bermusim yang tidak lagi relevan dalam landskap politik negara masa kini, kata Ketua Sekretariat War Room UMNO Malaysia, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa slogan ‘Malaysia untuk Sabahan’ lebih tepat dan mencerminkan semangat kebersamaan serta keterangkuman rakyat Sabah dalam pembangunan negara.

“Ungkapan ‘Sabah for Sabahan’ sudah lama digunakan, namun konteksnya terlalu sempit kerana hanya tertumpu kepada negeri ini sahaja.

“Rakyat Sabah turut menyumbang kepada pembangunan negara secara keseluruhan. Ramai yang berjaya dalam kerjaya di Semenanjung dan memegang jawatan penting. Ini bukti bahawa Malaysia juga milik rakyat Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Ramah Mesra bersama UMNO Bahagian Kalabakan, di sini, malam tadi.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu turut berkongsi pengalamannya menjelajah ke beberapa kawasan di Sabah, termasuk Kota Belud, Tuaran, Sepanggar, Putatan, Papar, Keningau, Pensiangan, Beaufort, Sipitang, Lahad Datu, Semporna, Kalabakan dan Tawau bagi menilai sentimen semasa rakyat negeri itu.

Menurutnya, hasil tinjauan mendapati semakin ramai rakyat Sabah menyedari bahawa Barisan Nasional (BN) dan UMNO masih merupakan pilihan terbaik untuk mentadbir negeri secara stabil dan mampan.

“Rakyat sudah merasai berada di bawah pelbagai kerajaan. Kini mereka melihat semula kepada pentadbiran UMNO dan BN yang terbukti membawa kestabilan dan kemajuan berterusan.

“Justeru, saya menyeru agar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, semua kerusi yang ditandingi UMNO dan BN dimenangi demi membentuk kerajaan yang kukuh,” katanya.

Ahmad turut yakin jika UMNO diberi mandat semula oleh rakyat Sabah, parti itu mampu menjadi teras utama kepada pembentukan kerajaan negeri yang stabil dan inklusif.

“Sekiranya kita bertanding 30 kerusi dan menang majoriti, UMNO akan menjadi magnet yang menarik kerjasama daripada parti-parti lain,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai sentimen kenegerian, beliau berkata integrasi antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung telah lama berlaku dalam pelbagai sektor termasuk pendidikan, keselamatan dan perkhidmatan awam.

“Guru dari Semenanjung berkhidmat di Sabah, manakala ramai anak Sabah berjaya dalam bidang profesional di Semenanjung. Ini membuktikan kita sudah lama hidup sebagai satu keluarga besar dalam Malaysia.

“Justeru, naratif ‘Malaysia untuk Sabahan’ wajar diangkat sebagai slogan baharu yang mencerminkan semangat kebersamaan dan menolak fahaman sempit yang boleh memecah-belahkan perpaduan negara,” katanya.

Ahmad turut mencadangkan agar slogan itu dijadikan asas dalam menyusun agenda pembangunan negeri, sekali gus memastikan Sabah mendapat tempat sewajarnya dalam arus kemajuan negara.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama