Armizan pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Tayangan Komersial Short Film Sabah dan Tayangan Perdana Impak Maksima 2 bertempat di 10star Cinemas Parklane City Benoni, di sini, semalam. |
PAPAR: Menetapkan had tempoh pentadbiran Ketua Menteri Sabah kepada dua penggal secara berterusan merupakan antara intipati dalam ikhtiar yang telah digariskan dibawah manifesto Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Timbalan Setiausaha GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata ikhtiar terbabit digariskan dibawah teras 'Sabah United' yang merupakan salah satu dari empat teras utama manifesto pihaknya.
Mengulas lanjut, katanya ikhtiar tersebut bukan hanya ditumpukan kepada usaha mewujudkan masyarakat yang bersatu padu namun juga komitmen semua rakyat Sabah untuk membina tadbir urus lebih baik.
"Syor ini telah diputuskan oleh kabinet negeri GRS bersama Pakatan Harapan (PH) Plus pada bulan Disember 2023. Reformasi ini memerlukan kepada pindaan kepada Perlembagaan Negeri yang memerlukan kelulusan dua pertiga ahli dewan.
"Sehubungan itu, GRS memerlukan kemenangan besar melebih dua pertiga majoriti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang untuk memastikan ikhtiar dalam manifesto ini dapat diluluskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) kelak," katanya.
Menjelaskan mengenai manifesto GRS secara keseluruhan, Armizan yang juga merupakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu berkata perkara itu belum dimuktamadkan dan pihaknya masih memperkemaskan lagi.
"Ini peringkat awal kita bincangkan kerangkanya. Kita minta syor daripada parti (semua parti komponen dalam GRS dan PH Plus).
"Selepas ini mereka akan balik pada parti masing-masing untuk murnikan syor terbabit berdasarkan empat teras itu. Kita akan jumpa semula dan persembahkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi GRS," katanya.
Beliau berkata demikian ketika dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Tayangan Komersial Short Film Sabah dan Tayangan Perdana Impak Maksima 2 bertempat di 10star Cinemas Parklane City Benoni, di sini, semalam.
Dalam pada itu, Armizan turut berkata beliau telah mengadakan mesyuarat pertama bersama wakil dari semua parti komponen GRS bagi membincangkan perkara berkaitan penubuhan 'task force' yang menggubal manifesto gabungan itu.
"Pengerusi GRS dan Ketua Menteri (Datuk Seri Hajiji Noor) telah memberikan amanah kepada saya untuk mempengerusikan 'task force' tersebut yang melibatkan wakil daripada semua parti komponen dalam GRS.
"Mesyuarat (pada Selasa lepas) berlangsung dengan baik. Walaupun kita akan angkat untuk pertimbangan kepimpinan majlia tertinggi, daripada dasarnya apa yang boleh saya kongsikan setakat ini adalah manifesteo GRS akan mengandungi dua komponen.
"Pertama adalah komponen yang berpaksikan kepada ikhtiar berteraskan kepada empat teras perjuangan iaitu "Sabah First', 'Sabah Forward', 'Sabah Prosper' dan 'Sabah United'.
"Komponen kedua adalah tekad dan komitmen GRS. Kita telah diberi amanah dalam PRN lepas dan kita telah membentuk kerajaan walaupun ada dinamiknya dimana kerjasama itu berubah. Kita komited terhadap janji kita iaitu 'walk the talk' dan 'work in progress," katanya.