Jalan Persekutuan di Sabah mesti ditampal dalam tempoh 24 jam – Ahmad Maslan


TAWAU: Semua kerosakan termasuk lubang pada jalan Persekutuan di Sabah mesti ditampal dalam tempoh tidak melebihi 24 jam selepas aduan diterima, tegas Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata, tanggungjawab itu terletak sepenuhnya di bawah syarikat konsesi yang diberi mandat menyelenggara jalan Persekutuan sehingga 2028, seperti termaktub dalam prosedur operasi standard (SOP) penyelenggaraan.

“Kementerian Kerja Raya (KKR) tidak boleh bertolak ansur dalam soal keselamatan jalan raya. Lubang atau kerosakan mesti ditampal dalam masa kurang 24 jam selepas aduan diterima. Itu SOP yang dipersetujui dalam kontrak penyelenggaraan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak Projek Pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Tambahan Pelbagai Kelas di Kem Kabota, di sini, hari ini.

Ahmad turut menggalakkan orang ramai agar memanfaatkan aplikasi MyJalan untuk melaporkan sebarang kerosakan jalan termasuk jalan kampung dan negeri, namun mengakui penggunaan aplikasi itu di Sabah masih rendah.

“Saya menyeru rakyat Sabah agar menggunakan aplikasi ini. Jangan risau soal saluran aduan kerana kita mengamalkan dasar 'No Wrong Door Policy'.

“Semua aduan akan disalurkan kepada pihak yang bertanggungjawab sama ada JKR negeri, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), pihak berkuasa tempatan (PBT) atau agensi berkaitan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menekankan keperluan menyiapkan projek RKAT di Kem Kabota yang kini sedang berjalan dengan nilai kontrak RM97 juta.

Katanya, projek berkenaan melibatkan pembinaan 182 unit rumah dan dijadualkan siap sepenuhnya pada 31 Oktober 2026, namun kelewatan pelaksanaannya boleh menjejaskan kewangan negara.

“Ramai anggota tentera terpaksa menyewa rumah di taman perumahan sekitar Tawau dan kos sewaan itu ditanggung kerajaan. Jika projek ini terus lewat, ia akan menambah beban kewangan negara.

“Kita sudah beri dua kali lanjutan masa atau Extension of Time (EOT). Saya sudah maklumkan kepada kontraktor dan konsultan supaya hentikan alasan dan cari penyelesaian segera,” katanya.

Menurut beliau, antara usaha mempercepatkan projek itu adalah melalui pembinaan kemudahan Sistem Binaan Berindustri (IBS) di tapak projek bagi mengelak kebergantungan terhadap penghantaran komponen dari kilang di Kota Kinabalu yang menelan masa dan kos tinggi.

Ahmad turut memberi amaran tindakan tegas akan diambil sekiranya projek terus mengalami kelewatan, termasuk pengeluaran surat amaran serta pengenaan denda lewat siap atau Liquidated Ascertained Damages (LAD) sebanyak RM16,391 sehari.

“Jika kegagalan berterusan, kontrak boleh ditamatkan dan lesen kontraktor digantung. Ini projek penting kerana lebih 1,500 keluarga anggota tentera sedang menanti. Kerajaan mahu projek ini disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama