PETALING JAYA: Tindakan UMNO Sabah menarik diri daripada kerajaan negeri dalam episod ‘Langkah Kinabalu’ dua tahun lalu memberi kesan besar terhadap kekuatan parti itu, sekali gus meletakkannya dalam kedudukan paling lemah dalam sejarah politik negeri berkenaan.
Memetik sumber Free Malaysia Today, Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Bilcher Bala, berkata kenyataan Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Abdul Rahman Dahlan bahawa langkah itu sebagai satu kesilapan besar adalah berasas berdasarkan kepada penilaian terhadap kelemahan jentera serta struktur akar umbi parti ketika ini.
Beliau berkata, tindakan keluar kerajaan negeri tanpa pelan pemulihan menyeluruh mengundang implikasi jangka panjang terhadap imej parti serta keupayaannya bersaing dengan parti-parti tempatan yang semakin mengukuh di Sabah.
“Pandangan Rahman mungkin didorong oleh realiti politik Sabah yang semakin kompleks, apabila parti tempatan seperti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan semakin dominan, manakala UMNO pula dilihat masih dibayangi bagasi persekutuan.
“UMNO Sabah kini berada dalam kedudukan paling lemah dalam sejarahnya, namun ia bukan penamat buat Barisan Nasional (BN) sekiranya mampu mencorak semula hala tuju dan naratif perjuangan parti,” katanya kepada media.
Mengulas lanjut, Bilcher berkata, sekiranya UMNO berjaya menyatukan jentera di peringkat akar umbi, membentuk kerjasama strategik bersama parti lain serta memperkenalkan manifesto yang relevan, ia masih berpeluang membuat kejutan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Terdahulu, Rahman dilaporkan berkata tindakan UMNO keluar daripada kerajaan negeri pada Januari 2023 adalah satu kesilapan besar yang melemahkan pengaruh parti serta menyukarkan usaha menjaga kepentingan rakyat Sabah.
Menurutnya, keputusan itu menyebabkan UMNO kehilangan empat jawatan menteri, enam pembantu menteri serta lebih 2,000 jawatan lantikan politik di peringkat akar umbi yang sebelum ini dipegang oleh pemimpin parti itu.
Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan tindakan menarik balik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor adalah keputusan bersama kepimpinan UMNO negeri dan bukannya keputusan individu.
Beliau juga meminta Rahman berhenti mengungkit perkara lama serta memberi tumpuan kepada usaha mengukuhkan parti menjelang PRN yang bakal diadakan.
Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi pula berpandangan UMNO masih mempunyai kekuatan di peringkat akar umbi walaupun dilihat rapuh dari segi kepimpinan dan kedudukan semasa.
“Rahman sendiri mengakui jentera akar umbi UMNO masih kuat. Ini boleh dijadikan asas penting untuk menggerakkan kempen menjelang pilihan raya, namun perlu lebih menyeluruh dan bersepadu,” katanya.
Pensyarah Kanan UMS, Dr Lee Kuok Tiung pula berkata tindakan keluar daripada kerajaan negeri menyebabkan berlakunya perpecahan dalam kalangan wakil rakyat UMNO yang mana sebahagian memilih untuk bersama GRS, manakala sebahagian lagi kekal bersama Bung sebagai pembangkang.
“Melihat kepada 14 kerusi yang dimenangi UMNO dan BN pada PRN Sabah 2020, jelas berlaku perpecahan yang melemahkan kekuatan parti di peringkat negeri,” katanya.