Suami isteri ‘sekepala’, ditahan bersama dadah

 

TAWAU: Sepasang suami isteri yang dipercayai ‘sekepala’ berkongsi najis dadah dicekup polis ketika sedang ‘beradu’ di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kuala Merotai, semalam.

Serbuan dijalankan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau hasil maklumat risikan dan aduan awam.

Pasangan berusia 39 dan 29 tahun itu ditahan selepas polis menemui 42 paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu yang disorok dalam sebuah beg kecil.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, anggaran berat dadah terbabit ialah 5.83 gram dan dianggarkan bernilai RM400 di pasaran gelap.

“Ujian saringan air kencing turut mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pasangan terbabit kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah serta Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana penyalahgunaan dadah.

Jasmin turut menggesa orang ramai supaya tidak berkompromi dan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam membanteras aktiviti pengedaran serta penyalahgunaan dadah.

“Dadah bukan saja merosakkan individu, tetapi turut memusnahkan institusi keluarga dan masa depan masyarakat,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama