16 projek Kampung Angkat MADANI KPDN manfaatkan lebih 1,000 penduduk Kaiduan

PAPAR: Lebih 1,000 penduduk di Mukim Kaiduan, Papar kini menikmati kemudahan baharu hasil pelaksanaan 16 projek pembangunan fizikal di bawah inisiatif Kampung Angkat MADANI Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Tiga kampung utama yang terlibat Kampung Kaiduan, Kampung Bolotikon dan Kampung Bisuang masing-masing mempunyai kira-kira 350 orang penduduk. Secara keseluruhan, hampir seluruh komuniti mukim itu menerima kesan langsung daripada projek-projek yang disiapkan sepenuhnya dalam tempoh kurang setahun.

Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sebanyak RM2.5 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan semua projek yang bermula sejak Mei tahun lalu dan kini siap sepenuhnya untuk diserahkan kepada penduduk.

"Kita telah berjaya menyempurnakan 16 projek di Mukim Kaiduan ini. Antara yang paling penting ialah pembinaan jambatan ‘low level crossing’ yang sekian lama dinanti penduduk di sini.

"Dulu kalau banjir atau air pasang, langsung tidak dapat lalu, lebih-lebih lagi penjual hasil tani yang mahu ke tamu di Papar," katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Rasmi Projek Kampung Angkat MADANI KPDN yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Kaiduan, hari ini.

Antara kemudahan yang turut disiapkan termasuk naik taraf jalan kampung, pembinaan jambatan gantung ke SK Kaiduan, pembinaan surau dan dewan serbaguna, pemasangan lampu solar serta pembaikan jambatan lama di laluan berbukit.

Selain tiga kampung utama, projek-projek pembangunan turut dilaksanakan di beberapa kampung sekitar termasuk Kampung Moliyoun, dengan tumpuan kepada kemudahan belia seperti gelanggang sepak takraw dan naik taraf rumah ibadat.

"Program Kampung Angkat MADANI ini dimulakan pada 2024. Setiap Menteri diminta memilih satu kampung untuk diangkat dan dibangunkan di bawah program ini.

"Sebagai Menteri dari Sabah, saya pilih Kaiduan, kerana kawasan ini mewakili realiti luar bandar yang masih memerlukan bantuan pembangunan asas," katanya lagi.

Untuk rekod, sebanyak 43 kampung di seluruh negara terlibat dalam inisiatif Kampung Angkat MADANI dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM107 juta.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama