PENAMPANG: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan beliau tidak akan meminggirkan rakan sekutu dalam membuat sebarang keputusan khususnya mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN).
Katanya, segala keputusan termasuk penentuan tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah harus dimuktamadkan menerusi mesyuarat membabitkan Majlis Tertinggi GRS.
"Sebab itulah, kita dalam GRS ini, sebarang keputusan harus dibuat menerusi majlis tertinggi.
"Apabila saya mahu bubarkan (DUN), rundingan (dan sebagainya), saya akan memberitahu semua rakan sekutu iaitu presiden-presiden parti (dalam GRS) bila mahu bubar.
"Walaupun itu prerogatif Ketua Menteri untuk menasihati Tuan Yang Terutama (Yang di Pertua Negeri Sabah), tapi kita tidak boleh membelakangi kawan-kawan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Konvensyen Bersama antara Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) bertempat di Dewan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), di sini, hari ini.