![]() |
Ewon ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mini Karnival Koperasi Peringkat Daerah Tenom 2025 di Dewan Terbuka Kampung Paguakon - ihsan KUSKOP |
TENOM: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah meluluskan pembiayaan berjumlah RM1.026 juta kepada 94 koperasi di seluruh negara di bawah Program Jejak Koperasi, sebagai usaha memperkasa sektor koperasi negara.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata jumlah terbabit adalah sebahagian daripada RM2 juta yang diperuntukkan SKM bagi melaksanakan program tersebut melibatkan penyertaan 160 koperasi.
“Program Jejak Koperasi merupakan inisiatif khas Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui SKM yang kita perkenalkan pada tahun lepas bagi membantu mempersiapkan koperasi-koperasi yang terlibat dalam sektor pelancongan dan hospitaliti menghadapi Tahun Melawat Malaysia 2026.
"Ini di mana kita menyediakan insentif khas kepada pemasaran produk dan perkhidmatan mereka lebih awal dari kempen Tahun Melawat Malaysia.
“Di samping itu, sebanyak RM642,000 turut diperuntukkan bagi Program Jualan MADANI Koperasi yang dilaksanakan secara menyeluruh di pelbagai lokasi.
“Usaha ini bertujuan meningkatkan keterlibatan koperasi dalam aktiviti ekonomi setempat dan memberi manfaat terus kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mini Karnival Koperasi Peringkat Daerah Tenom 2025 di Dewan Terbuka Kampung Paguakon, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut berkata sejak penubuhan koperasi pertama negara pada 21 Julai 1922, gerakan koperasi telah berkembang menjadi antara penyumbang utama ekonomi negara dengan 16,284 koperasi aktif dan lebih 7.2 juta anggota.
“Koperasi di seluruh negara kini memiliki syer dan yuran mencecah RM18.3 bilion, aset RM173 bilion, dan perolehan tahunan sekitar RM68.18 bilion. Ini membuktikan potensi besar sektor ini dalam menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.
Ewon berkata perkembangan sektor koperasi turut didorong oleh pelaksanaan Dasar Koperasi Malaysia 2030 (DaKoM 2030) dan Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TransKoM 2021–2025).
Menurutnya, ini telah menyumbang kepada peningkatan 101 peratus pendaftaran koperasi baharu dari tahun 2021 hingga 2024.
“Kerajaan juga sedang menggubal pindaan terhadap Akta Koperasi 1993 untuk memperkukuh kerangka perundangan agar lebih progresif dan mesra koperasi, seiring aspirasi semasa dan masa depan,” katanya.