![]() |
Kor Ming(tengah) bersama penerima kunci rumah di Taman PRR Putera Kiansom, hari ini. |
KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan sebanyak RM71.7 juta bagi melaksanakan projek pembangunan dan penyelenggaraan rumah rakyat di seluruh Sabah tahun ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia, Nga Kor Ming berkata, jumlah peruntukan terbabit meliputi projek pembangunan seperti Program Residensi Rakyat, Program Perumahan Rakyat, Rumah Mesra Rakyat (RMR), penyelenggaraan rumah, serta bantuan baik pulih kediaman dan rumah ibadat bukan Islam (RIBI).
Katanya, semua projek terbabit dilaksanakan menerusi Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12).
Mengulas lanjut, sebanyak sepuluh projek baharu di bawah Program Residensi Rakyat dan Program Perumahan Rakyat akan dilaksanakan di lokasi terpilih termasuk Kionsom, Pitas, Lahad Datu, Kota Belud, Beaufort, Kibabaig, Sandakan, Kuala Penyu dan Tuaran, dengan peruntukan berjumlah RM39.78 juta yang disalurkan melalui Bahagian Perancangan Perumahan KPKT.
“RM24.48 juta (RM24,482,100.00) bagi pembangunan Rumah Mesra Rakyat di bawah seliaan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Perasmian dan Penyerahan Kunci yang bertempat di Taman Program Rumah Rakyat (PRR) Putera Kiansom, di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Kerajaan Tempatakan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam dan Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Phoong Jin Zhe serta Mayor DBKK, Datuk Seri Dr Sabin Samitah.
Sementara itu, Kor Ming turut memaklumkan bahawa sebanyak RM7.53 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan Program Baik Pulih Rumah di Bandar, Program Bina Baharu Rumah di Bandar, serta penyaluran dana penyelenggaraan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI).
“Manakala, RM7.17 juta di bawah Jabatan Perumahan Negara untuk pelaksanaan inisiatif-inisiatif di bawah Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) dan Program Penyenggaraan Perumahan (PPP) Negeri Sabah,” jelasnya.
Menurut beliau, peruntukan yang diberikan ini membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan rakyat Sabah tidak terpinggir dalam agenda perumahan dan kesejahteraan komuniti.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan keseluruhan berjumlah RM195.35 juta untuk pelaksanaan 48 projek pembangunan infrastruktur serta kerja baik pulih di seluruh negeri.