![]() |
Jasmin menunjukkan dadah jenis methamphetamine seberat lebih 2kg yang dirampas di sebuah bengkel dekat Hill Top, 7 JULAI lalu. |
TAWAU : Berselindung di sebalik perniagaan bengkel membaiki kenderaan, sindiket pengedaran dadah akhirnya tumpas selepas helah menjadikan premis itu sebagai stor menyimpan syabu bernilai puluhan ribu ringgit terbongkar dalam serbuan polis di Kampung Tator Hill Top, di sini, 7 Julai lalu.
Dalam serbuan kira-kira jam 11.30 pagi, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau menahan tiga lelaki dalam sebuah bilik stor bengkel dalam keadaan mencurigakan.
Hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan dua bungkusan plastik berisi hablur disyaki syabu seberat 2,129.86 gram dianggarkan bernilai mencecah RM74,500 yang disorok rapi dalam kotak coklat berselotep putih.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata, susulan tangkapan itu, seorang lagi lelaki ditahan pada jam 1.30 tengah hari di Lapangan Terbang Tawau ketika sedang menunggu penerbangan ke Kota Kinabalu.
“Siasatan awal mendapati sindiket ini menggunakan bengkel sebagai 'port' untuk menyembunyikan bekalan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
"Polis tidak menolak kemungkinan premis seperti bengkel dipilih kerana dilihat sebagai satu perniagaan yang menjalankan aktiviti sah harian,” katanya dalam sidang media hari ini.
Mengulas lanjut, Jasmin berkata sindiket berkenaan turut menggunakan modus operandi baharu iaitu membungkus dadah dalam paket plastik keemasan berlabel ‘fried durian’ bagi mengaburi mata pihak berkuasa, menggantikan cara lama menggunakan bungkusan teh Cina jenama Guanyingwang.
Katanya, empat suspek yang ditahan berusia antara 29 hingga 64 tahun, terdiri daripada tiga warga tempatan dan seorang warga asing dengan salah seorang daripada mereka mempunyai dua rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 506/324 Kanun Keseksaan.
“Tiga suspek lain tidak mempunyai rekod jenayah, dan ujian saringan air kencing terhadap kesemua mereka juga didapati negatif.
"Mereka kini direman tujuh hari bermula 9 hingga 15 Julai untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
“Polis sedang giat mengesan rangkaian lain yang mungkin terlibat dengan sindiket ini,” tambahnya.