PDRM Sabah rampas dadah RM6.56 juta, peningkatan dua kali ganda tahun ini

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun (tengah) menunjukkan antara rampasan dadah dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.
 

KOTA KINABALU — Usaha agresif Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membanteras jenayah dadah di Sabah mula menunjukkan hasil.

Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini sahaja, rampasan dadah di negeri ini mencecah RM6.56 juta, hampir dua kali ganda berbanding RM2.62 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, peningkatan sebanyak RM3.94 juta itu jelas membuktikan keberkesanan gerak kerja Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah.


“Ini hasil komitmen berterusan, gerak kerja bersepadu dan kerjasama rapat dengan agensi penguatkuasa lain.

“Harapan saya, tahun ini kita akan gandakan lagi usaha untuk capai semua KPI yang ditetapkan pucuk pimpinan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Jauteh turut mendedahkan prestasi cemerlang Bahagian Pelucuthakan Harta yang berjaya menyita harta bernilai RM8.29 juta bagi tahun ini — jauh lebih tinggi berbanding RM1.05 juta pada tempoh sama tahun lalu.

“Peningkatan sebanyak RM7.23 juta atau 785 peratus ini bukti keberkesanan pelucuthakan harta hasil jenayah dadah,” katanya.

Dalam pada itu, statistik juga menunjukkan jumlah kes berkaitan Akta Dadah Berbahaya 1952 merekodkan sedikit penurunan, iaitu 8,170 kes berbanding 8,173 kes tahun lalu.

Bagaimanapun, jumlah tangkapan meningkat sedikit apabila 8,542 orang ditahan tahun ini berbanding 8,517 orang tahun lalu.

Sementara itu, sebanyak 7,607 pertuduhan dikemukakan daripada keseluruhan 8,174 kes yang dibuka melibatkan kesalahan membabitkan bekalan, pemilikan dadah dan Akta Racun.

Jauteh turut merakamkan penghargaan kepada Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil bersama semua pegawai dan anggota yang terus komited dalam memerangi jenayah dadah di Sabah.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama