![]() |
Foto ihsan Bomba |
SANDAKAN: Hasrat dua sahabat untuk ke destinasi mereka tidak kesampaian apabila salah seorang daripada mereka maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka merempuh belakang sebuah lori dalam kejadian di Batu 25, berhampiran Ladang Sakilan, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.25 malam itu, mangsa dikenali sebagai Mohd Haikal Jatimin, 21, disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Manakala seorang lagi mangsa, Hasbir Baso, 30, mengalami kecederaan parah di kepala.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Chaunslin Susubin, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi MERS999 pada jam 8.25 malam.
Seramai tujuh anggota dari BBP Sandakan bersama sebuah jentera FRT dan EMRS digerakkan ke lokasi kejadian.
“Kemalangan membabitkan kenderaan pacuan empat roda yang dipercayai melanggar bahagian belakang lori.
“Pasukan bomba bertindak mengeluarkan dua mangsa yang tersepit sebelum menyerahkan mereka kepada pihak KKM untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 9.30 malam selepas pemeriksaan keselamatan dibuat di lokasi kejadian.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Duchess of Kent, manakala Hasbir dirawat di unit kecemasan hospital sama.