Pengamal Media diseru jalankan tugas dengan integriti, bertanggungjawab - Hajiji

Joniston (dua dari kanan) menyerahkan anugerah Golden Service Award kepada Chan Kang Yuan (tengah).

KOTA KINABALU: Pengamal media diseru untuk menjalankan tugas dengan penuh integriti, berlandaskan prinsip kewartawanan yang profesional dan bertanggungjawab.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata kejayaan serta penyampaian maklumat berhubung pelaksanaan dasar-dasar kerajaan turut bergantung kepada peranan penting media dalam menyampaikan maklumat secara jelas dan berkesan kepada rakyat.

Manakala dalam konteks pembangunan negeri, katanya kerajaan terus komited melaksanakan pelbagai inisiatif yang memanfaatkan rakyat dan mempercepatkan kemajuan Sabah menerusi Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Sebagai pihak yang mempunyai jalinan kerjasama serta hubungan erat dengan kerajaan, media turut berfungsi dalam menyampaikan maklumat berkaitan dasar-dasar pembangunan kerajaan negeri, khususnya di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju SMJ.

“Justeru, saya berharap kerjasama strategik ini terus dipertingkatkan dan hubungan baik antara kita semua diperkukuh bagi membantu kerajaan menyebarluaskan maklumat penting kepada rakyat berkaitan agenda pembangunan dan hala tuju kerajaan negeri.

“Laporan media juga membantu kerajaan mengetahui apa yang berlaku di peringkat akar umbi serta rintihan rakyat. Sudah tentunya, kerajaan sentiasa mengalu-alukan laporan dan liputan seperti ini daripada pengamal media sebagai jambatan penghubung antara kerajaan dan rakyat,” katanya.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai di Majlis Kinabalu Press Awards (KPA) 2025 di sini, pada Ahad.

Beliau turut berharap agar media terus memainkan peranan penting sebagai penyedia maklumat yang dipercayai, penyampai berita sahih dan platform untuk memperoleh maklumat dengan lebih cepat dan tepat kepada masyarakat.

Katanya, penganjuran Kinabalu Press Awards oleh Persatuan Wartawan Sabah (SJA) dengan kerjasama kerajaan negeri serta penaja lain adalah untuk mengiktiraf dan menghargai komitmen serta keupayaan pengamal media di negeri ini.

“Majlis ini juga mampu menjadi platform terbaik bagi mendorong para pengamal media untuk lebih bersemangat, fokus dan bertanggungjawab dalam menjalankan tugasan yang lebih telus serta beretika,” ujanya.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri tidak mengabaikan peranan penting media dalam masyarakat malah memberikan sokongan berterusan kepada program seperti KPA menerusi sumbangan tajaan kewangan.

“Kerajaan negeri amat menghargai dan memahami keperluan ini, malah bantuan tajaan juga meningkat setiap tahun.

“Saya juga mengucapkan tahniah kepada semua pemenang. Teruskan usaha cemerlang dan jadikan kejayaan ini sebagai pemangkin untuk terus menyumbang kepada pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat menerusi laporan berita yang berwibawa dan beretika,” tambahnya.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama