![]() |
Ketua Menteri ketika ditemui pemberita selepas persidangan DUN Sabah, di sini, hari ini. |
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor memberi bayangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bakal dibubarkan dalam tempoh terdekat ini selepas sidang DUN selama dua hari sejak semalam selesai.
Walau bagaimanapun, beliau secara berseloroh berkata tarikh pembubaran DUN akan dimaklumkan setelah ia dimuktamadkan kelak.
“Itu tidak boleh saya beritahu sekarang. Tunggu bila kita sudah tetapkan nanti, kita akan panggil semua kawan-kawan daripada media.
“Sabar, tidak lama lagi. Janganlah kamu bilang automatik-automatik pula, itu terpulang kepada Ketua Menteri nanti. Saya mimpi dulu, cari tarikh yang paling baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sidang DUN Sabah, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ketika menjawab pertanyaan mengenai perbincangan agihan kerusi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) berkata perkara terbabit sedang diperhalusi.
“Itu sedang diperhalusi. Kita sudah mengadakan satu dua pertemuan dengan kawan-kawan (rakan sekutu).
“Jadi kita akan mengutamakan nanti sebelum kita bubar Dewan Undangan Negeri. Yang jelas sekarang, kerajaan hari ini adalah GRS-PH. Itu asas kita, yang lain kita nanti tengok macam mana,” ujarnya.