Sabah Maju Jaya 1.0 capai 94 peratus, ekonomi negeri terus catat pertumbuhan positif

Nizam di Dewan Undang Negeri, hari ini

KOTA KINABALU: Pelaksanaan pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 yang dilancarkan sejak 2021 mencatatkan pencapaian memberangsangkan apabila merekodkan purata kejayaan 94 peratus setakat Mei lepas.

Perkara itu dimaklumkan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Datuk Seri Abu Bakar Titingan semasa menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin, di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Menurutnya, sebanyak 366 daripada 467 inisiatif di bawah hala tuju SMJ telah mencapai pelaksanaan 100 peratus.

“Pertumbuhan ekonomi Sabah juga menunjukkan perkembangan positif secara konsisten sejak beberapa tahun lalu.

“Pada tahun 2020, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah bernilai RM77.8 bilion sebelum meningkat kepada RM78.7 bilion pada 2021, RM82.1 bilion pada 2022, RM83.2 bilion pada 2023 dan terbaru sebanyak RM84.3 bilion pada tahun 2024,” katanya.

Beliau turut memaklumkan jumlah perdagangan negeri Sabah mencatatkan angka tertinggi pada tahun 2022, iaitu sebanyak RM118 bilion, meningkat RM30.8 bilion berbanding tahun sebelumnya yang merekodkan RM87.2 bilion.

Jelasnya, ini sekali gus mencerminkan keyakinan terhadap kekuatan ekonomi negeri Sabah.

Tambah beliau, pelaksanaan Sabah Maju Jaya 1.0 yang memberi fokus kepada pertumbuhan ekonomi, pembangunan modal insan dan kelestarian rakyat terus menjadi antara keutamaan kerajaan negeri dalam memastikan kemajuan negeri itu dapat dinikmati seluruh rakyat.





Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama