Sabah laksana program ganti paip lama berfasa, fokus kawasan sering gangguan air


KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah memaklumkan usaha penggantian paip lama yang sering menjadi punca gangguan bekalan air di negeri ini sedang dilaksanakan secara berfasa.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, jaringan paip jenis Asbestos Cement (AC) sepanjang 1,200 kilometer di seluruh negeri dikenal pasti perlu diganti secara berperingkat.

Menurutnya, antara daerah yang terlibat dalam program penggantian itu termasuklah Sandakan, Keningau dan Kota Kinabalu.

“Program ini memang sudah dirancang oleh Jabatan Air Negeri Sabah untuk mengganti paip-paip yang lama dan usang.

“Namun, untuk menggantikan semua paip secara serentak memerlukan kos yang sangat tinggi, jadi ia terpaksa dilaksanakan secara berfasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Anwar Ayuub, dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini.

Dalam masa sama, Shahelmey memaklumkan bahawa kerja-kerja pembaikan paip bocor dan rosak juga giat dijalankan di seluruh negeri.

Katanya, sejak tahun lalu, Jabatan Air Negeri Sabah telah melantik kontraktor di setiap zon bagi menjalankan kerja-kerja pembaikan.

“Ini sebahagian daripada usaha berterusan kita untuk memastikan masalah kebocoran paip dapat ditangani segera di semua kawasan yang terlibat,” katanya lagi.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama