![]() |
Foto ihsan Bomba |
LAHAD DATU: Tiga lelaki maut manakala seorang lagi cedera selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler membawa muatan minyak sawit dalam kejadian di Batu 16, Jalan Lahad Datu-Sandakan malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.52 malam itu, kesemua mangsa maut merupakan penumpang dan pemandu kenderaan jenis Isuzu Dmax, manakala pemandu treler hanya mengalami cedera ringan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 sebelum satu jentera LFRT, satu EMRS dan satu FRV bersama 12 anggota digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 30 kilometer.
“Setiba di lokasi, didapati kemalangan membabitkan sebuah treler milik syarikat Yee Ping Sdn Bhd dan sebuah pacuan empat roda jenis Isuzu Dmax.
“Tiga mangsa lelaki tersepit di dalam Isuzu Dmax dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mangsa yang maut dikenalpasti sebagai Mohd Azizi, 28, Mohd Rasman Ahmat Kechil, 28, dan Muhammad Zulkhairi Ismail, 29.
“Pemandu treler, Abd Kadir Lanusa, 61, hanya mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM untuk rawatan lanjut,” katanya.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 12.40 tengah malam selepas pasukan bomba memastikan tiada risiko bahaya lain di lokasi kejadian.