![]() |
Claudius (tiga dari kiri) ketika ditemui media. |
KOTA KINABALU : Majlis Datuk Datuk Negeri Sabah (MDNS) giat menjalankan aktiviti membantu masyarakat kurang berkemampuan.
Presidennya, Datuk Claudius Roman berkata setakat ini bantuan telah disalurkan ke beberapa daerah dan kawasan luar bandar seperti Tuaran, Beaufort, Inanam, Papar, Keningau, Paitan dan Beluran.
"MDNS kini giat memberi sumbangan kepada masyarakat yang memerlukan seperti mereka yang ditimpa bencana banjir dan kebakaran.
"Antara bantuan yang diberikan seperti kerusi roda, katil dan tilam serta lain-lain keperluan kepada mereka yang kurang berkemampuan.
"Selain itu, bantuan mengikut kepakaran ahli MDNS juga ada seperti bantuan perkhidmatan perubatan kerana ada antara ahli MDNS yang merupakan pengamal perubatan," katanya kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Selasa.
Menurut Claudius, kunjungan berkenaan bertujuan untuk memaklumkan Tun Musa berkaitan pelaksanaan dan perancangan aktiviti organisasi itu.
Turut hadir, Timbalan Presiden II MDNS Datuk Abdul Kadir M.E Sikkandar, Timbalan Presiden III Datuk Sia Hiong Tee, Naib Presiden III Datuk Mohd Salleh Abbas, Setiausaha Agung Datuk Katherine Lee Mei Oi dan Bendahari Agung Datuk Ir. Willis Mojiron Ansoi.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)