TAWAU: Slogan ‘Sabah for Sabahan’ bukan sembang kosong atau retorik bermusim, sebaliknya lambang semangat rakyat negeri ini dalam memperjuangkan hak yang dijanjikan menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata dakwaan yang menyifatkan slogan itu sebagai tidak relevan jelas menunjukkan pihak terbabit tidak memahami sejarah penubuhan Malaysia.
“Bila sebut ‘Sabah for Sabahan’, ia bukan bermaksud kita nak keluar dari Malaysia, tapi nak pastikan hak dan kepentingan Sabah tidak diketepikan.
“Ia tentang perjuangan supaya negeri ini diurus oleh anak tempatan yang faham masalah rakyat, bukan dikawal parti luar,” katanya.
Beliau yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah berkata demikian selepas merasmikan Festival Bahasa dan Sastera (BAHTERA), di sini, hari ini.
Terdahulu, Ketua Sekretariat War Room UMNO Malaysia, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan menyifatkan slogan itu sudah tidak relevan dalam konteks politik negara.
Mengulas lanjut, Nizam menegaskan slogan berkenaan tidak bercanggah dengan semangat Malaysia, sebaliknya menyerlahkan kepentingan Sabah sebagai rakan kongsi sah dalam pembentukan negara ini.
“Sabah, Sarawak dan Semenanjung adalah tiga rakan kongsi utama yang membentuk Malaysia. Jadi kita tak boleh samakan Sabah dengan negeri lain di Semenanjung.
“GRS di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, sentiasa letakkan kepentingan Sabah sebagai keutamaan,” katanya.
Beliau juga menyifatkan pihak luar yang cuba mengecilkan maksud ‘Sabah for Sabahan’ sebagai gagal memahami aspirasi sebenar rakyat negeri ini.
“Kita bukan tolak pembangunan. Tapi pembangunan mesti ikut acuan Sabah, bukan acuan luar. Biarlah parti dan pemimpin yang berpangkalan di sini yang tentukan halatuju negeri,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Nizam berkata perbincangan berhubung kerjasama politik di Sabah masih berjalan dan belum ada keputusan muktamad.
Namun, katanya, apa juga perbincangan perlu berlandaskan realiti bahawa kerajaan negeri ketika ini ditunjangi GRS dan Pakatan Harapan (PH).
“Kita kena hormat mandat rakyat. Apa juga keputusan mesti berdasarkan gabungan sedia ada, iaitu GRS-PH,” katanya.
Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya tidak mengabaikan Perjanjian Malaysia 1963 yang menjadi asas penting dalam pembentukan negara.
“Kalau pemimpin dari luar cuba samakan Sabah dengan negeri-negeri lain, itu sebenarnya tak hormat sejarah dan semangat MA63.
“Ini bukan soal nak popular dengan slogan, tapi soal prinsip dan tanggungjawab kepada rakyat Sabah,” katanya.