‘Langkah Kinabalu’ bukan keputusan peribadi, tetapi persetujuan bersama - Bung

KOTA KINABALU: Tindakan UMNO Sabah yang memutuskan untuk keluar dari kerajaan negeri menerusi 'Langkah Kinabalu' pada tahun 2023 bukan keputusan berbentuk peribadi.

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata sebaliknya berkata keputusan terbabit diambil setelah dimuktamadkan secara persetujuan bersama oleh pimpinan tinggi pihaknya.

Katanya, beliau mengambil maklum kenyataan yang dikeluarkan Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkenaan perkara terbabit, baru-baru ini.

Menurutnya, Abdul Rahman sebagai pemimpin kanan UMNO yang telah lama bersama dalam perjuangan parti mempunyai hak sepenuhnya untuk menyuarakan pandangan peribadinya.

"Dalam sebuah parti yang percaya kepada amalan demokrasi, keterbukaan seperti ini adalah tanda kematangan politik kita.

"Saya faham bahawa beliau merujuk kepada peristiwa yang berlaku pada tahun 2023, dan menggunakan contoh tersebut sebagai gambaran wujudnya perbezaan pandangan antara kami pada ketika itu. 

"Sebagai rakan seperjuangan dan sahabat lama dalam parti, perbezaan pandangan adalah sesuatu yang biasa. Apa yang penting ialah bagaimana kita menyelesaikannya dengan berhemah.

"Beliau juga maklum bahawa keputusan yang diambil ketika itu bukan bersifat peribadi, tetapi hasil daripada persetujuan bersama kepimpinan UMNO Sabah setelah mempertimbangkan segala implikasi secara menyeluruh," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Susulan itu, Bung Moktar menegaskan pihaknya kekal bersatu, fokus, dan komited sebagai satu pasukan dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN17) yang akan datang.

"Misi UMNO Sabah adalah satu iaitu, untuk menang dalam PRN.

"Kami sudah bersedia dengan jentera akar umbi kukuh, semangat yang diperbaharui, dan agenda yang jelas untuk mengembalikan maruah serta tadbir urus berkesan di bawah kepimpinan nasional yang kuat.

"Dalam landskap politik hari ini sama ada di Sabah, Malaysia, mahupun di peringkat global rakyat lebih menghargai pemimpin yang menawarkan penyelesaian, bukan yang terperangkap dengan masa lalu. 

"Sebab itu UMNO Sabah memilih untuk menjadi sebahagian daripada penyelesaian, dan sebahagian daripada masa depan," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama