KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi jaminan akan memberi kerjasama penuh kepada pihak polis berhubung siasatan kes kematian seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu yang dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah menengah di sini.
Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata ketika ini siasatan berhubung kejadian berkenaan masih dijalankan pihak berkuasa.
Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.
"KPM mengambil serius kejadian ini dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dalam siasatan yang sedang berlangsung.
"Saya juga menyeru masyarakat agar menghormati privasi keluarga mangsa dan tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih.
" Tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan hasil siasatan pihak berkuasa," katanya dalam satu hantaran di Facebook rasminya hari ini.
Fadhlina berkata, beliau bersama Pengurusan Tertinggi KPM telah menziarahi keluarga mangsa di hospital untuk menyampaikan ucapan takziah serta memastikan segala keperluan mereka disediakan.
Katanya, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah juga sudah menyalurkan bantuan segera kepada keluarga, termasuk sokongan psikososial.
Insiden itu menjadi perhatian selepas tular di media sosial sejak semalam, apabila seorang pelajar perempuan dilaporkan maut selepas dipercayai terjatuh dari bangunan asrama.
Beberapa komen di media sosial turut mendakwa mangsa sebelum itu menjadi mangsa buli, namun setakat ini tiada kenyataan rasmi dikeluarkan pihak berkuasa berhubung dakwaan tersebut.